Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 19 Februari 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Solidariti rakyat Sabah kepada China selepas negara itu diserang wabak Covid-19, dibuktikan apabila  RM2 juta berjaya dikutip melalui tabung yang diwujudkan untuk membantu negara itu. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, jumlah tersebut tidaklah sebesar mana jika dibandingkan penderitaan yang dihadapi China dan rakyatnya ketika ini, namun ini adalah masanya untuk Sabah memberikan sokongan moral. Beliau berkata, ketika China tidak dilanda masalah, Sabah menerima limpahan ekonomi daripada kemasukan  pelancong negara itu, justeru semasa dilanda kesusahan, Kerajaan Sabah akan berusaha memberikan sokongan sedaya mungkin.Tabung berkenaan pada asalnya hanya mensasarkan kutipan sebanyak RM1 juta, namun berjaya melepasi sasaran selepas rakyat Sabah menunjukkan keprihatinan kepada masalah yang dihadapi di China.

* Badan kehakiman negara mencipta sejarah hari ini apabila buat pertama kalinya, sistem kecerdasan buatan atau  AI digunakan di Mahkamah Sabah untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dua tertuduh, Denis Modili, 43, dan Christopher Divingson Mainol, 26, masing-masing dihukum penjara 12 bulan dan sembilan bulan oleh Majistret Jessica Ombou Kakayun selepas menilai analisis daripada AI yang digunakan membabitkan kedua-dua tertuduh. Sistem AI yang digunakan sebelum itu mencadangkan hukuman penjara 10 bulan terhadap Denis dan sembilan bulan kepada Christopher selepas data-data tertuduh seperti akta digunakan, umur, pekerjaan dan taraf sosioekonomi dimasukkan ke dalam sistem Sistem AI. Sistem itu hanya akan digunakan di Mahkamah Sabah dan Mahkamah Sarawak buat masa ini membabitkan perbicaraan Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesalahan merogol mengikut  Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

* Pusat penginapan terkenal, Uncle Chang’s Sipadan Mabul Dive Lodge musnah dalam kebakaran di Pulau Mabul, Semporna, semalam. Kejadian 5.30 petang itu memusnahkan lapan bilik penginapan, sepuluh rumah kakitangan, kedai, restoran dan beberapa bahagian lain, dianggarkan mencecah nilai ratusan ribu ringgit. Menurut sumber, kebakaran itu juga menyebabkan sebuah rumah penduduk kampung yang terletak berhampiran, musnah sepenuhnya. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sabah berkata sepasukan bomba dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Bomba Atas Air Semporna bergegas ke lokasi kejadian menaiki bot Kevelar sebaik menerima aduan. Namun, pasukan berkenaan tidak dapat meneruskan perjalanan dan terpaksa berpatah balik memandangkan keadaan cuaca tidak mengizinkan berikutan angin kuat dan laut bergelora. Bomba turut menghubungi  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Tentera Laut DiRaja Malaysia bagi mendapatkan bantuan aset bersesuaian untuk membawa anggota bomba ke lokasi kejadian. Bagaimanapun, masalah yang sama dihadapi akibat cuaca buruk menyebabkan aset pasukan keselamatan berkenaan tidak dapat digerakkan.

* Sementara itu, 120 mangsa daripada 20 keluarga yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran di kampung Inabah Kamal, Semporna, Sabtu lalu, terus menerima bantuan pelbagai pihak yang prihatin.

Mangsa yang kini ditempatkan di Dewan Masyarakat Semporna menerima sumbangan makanan dan minuman serta keperluan lain daripada Persatuan Barisan Transformasi Belia Semporna, PBTBS.

* Kakitangan kerajaan khususnya di daerah Tongod diingatkan tidak menjadi seperti kamera litar tertutup atau CCTV atau hanya menjadi pemerhati dan berdiam diri sekiranya melihat ada dakwaan  serong dilemparkan terhadap kerajaan melalui apa sahaja medium termasuk media sosial. Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kakitangan kerajaan bukan hanya berperanan sebagai ‘kaki’ dan ‘tangan’ sebaliknya mereka juga adalah mata, telinga dan mulut yang mewakili kerajaan untuk menjawab setiap persoalan rakyat.

* Padah membiarkan seorang kanak-kanak meminta sedekah sambil mengacukan pistol mainan, empat wanita Palauh ditahan polis di Bandar Sri Perdana, Jalan Silam, Lahad Datu, hari ini.