Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 18 September 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Kerajaan Sabah akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP secara pentadbiran di kawasan yang dikenal pasti di Tawau dan Lahad Datu tidak lama lagi bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, PKP pentadbiran itu perlu bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk di kawasan tersebut.

* Datuk Seri Mohd Shafie memberi jaminan bahawa hak pengundi untuk memilih pada Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah pada 26 September ini tidak terjejas susulan peningkatan kes COVID-19 di pantai timur negeri ini.

Sebaliknya beliau berkata keadaan itu akan dikawal dan bukan penutupan atau lockdown sepenuhnya.

* Petronas akan diheret ke mahkamah jika Cukai Jualan Produk Petroleum tidak dibayar kepada Sabah.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata, jika Petronas boleh membayar cukai jualan tersebut kepada kerajaan Sarawak, mereka juga sepatutnya boleh membayar kepada Sabah secara sama rata.

* Ketika berucap di Majlis Bersama Rakyat N20 Api-Api semalam, Datuk Seri Mohd Shafie mempersoalkan mengapa hanya 1,500 orang sahaja pekebun kecil Sabah yang mendapat manfaat daripada tanah seluas 200,000 ekar yang diberikan kepada Felda.

Tanah itu sepatutnya untuk diusahakan pekebun-pekebun kecil sawit bagi membolehkan mereka keluar dari garis kemiskinan.

* Dalam ucapannya di Majlis Bersama Rakyat N20 Api-Api di Dewan Hakka semalam, Datuk Seri Mohd Shafie turut mengingatkan rakyat Sabah bahawa bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman akan mengawal Datuk Hajiji Mohd Noor sekiranya calon Perikatan Nasional di DUN Sulaman itu menjadi Ketua Menteri.

* Ketika berucap di Majlis Bersama Rakyat di Lido Square, semalam, Datuk Seri Mohd Shafie mengingatkan rakyat Sabah agar membuka mata bagi menilai pemimpin yang mudah berubah pendirian kerana politik wang.

Katanya, pemimpin seperti Jeffrey Kitingan yang cepat berubah pendirian harus ditolak kerana sanggup mengkhianati mandat yang diberikan rakyat.

* Ketika berucap di Putatan dan Kepayan, Datuk Seri Mohd Shafie menafikan ekonomi Sabah merundum di bawah pemerintahannya termasuk ketika menghadapi wabak Covid-19.

Sebaliknya, beliau berkata, keadaan ekonomi yang merudum turut dirasai di seluruh dunia akibat wabak Covid-19. Jelasnya lagi, meskipun berdepan dakwaan sedemikian, Sabah masih mampu membayar hutang bon sebanyak 1 bilion ringgit tahun lalu, yang dibuat bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

* Perdana Menteri seharusnya tidak menggunakan isu bantuan untuk meraih undi pada PRN Sabah ini.

Pengerusi Lembaga Penasihat Parti Keadilan Rakyat, PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau seharusnya menjadi Perdana Menteri untuk semua negeri dan semua rakyat Malaysia tanpa mengira diperintah parti kerajaan atau pembangkang.

Wan Azizah turut mencadangkan kepada syarikat penerbangan untuk memberi diskaun khas kepada
rakyat Sabah di Semenanjung yang mahu pulang mengundi agar lebih ramai rakyat Sabah dapat menunaikan hak demokrasi mereka.

* Pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan tindakan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Bung Moktar Radin yang mempertikaikan slogan Parti Warisan Sabah “Pada Tuhan Kita Yakin, Berpadu Kita Mesti”.

Menurut Kit Siang, slogan atau ungkapan yang digunakan Warisan itu adalah prinsip Rukun Negara yang sepatutnya dihayati Kerajaan bagi menghentikan diskriminasi terhadap negeri Sabah yang merupakan negeri yang kaya tetapi mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi di negara ini.

* Kerajaan Sabah telah meluluskan peruntukan RM3.5 juta kepada Gereja Sidang Injil Borneo, SIB untuk pembinaan blok pentadbiran tambahan Kolej Teologi Sabah di Namaus, Ranau.

Cek tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau,  kepada Presiden SIB Sabah Rev. Ir. Datuk Jerry Dusing, di Borneo Theological Seminari, Namaus, di Ranau, hari ini.

Menurut Madius, permohonan bagi pembinaan blok tambahan terbabit sudah diterima sejak 4 Jun lalu dan telah diluluskan oleh kabinet negeri pada 7 Julai lalu. Rev. Datuk Ir. Jerry Dusing menyambut baik inisiatif kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan pembangunan pendidikan dan memperkasakan modal insan bagi penganut bukan Islam di Sabah.

* Hilang kepercayaan kepada Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku, STAR, Lyrone Lodimon bersama 250 yang lain menyertai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO.

* Kukusan yang sebelum ini terletak di kawasan DUN Sebatik, telah diwakili ADUN Barisan Nasional, BN selama lebih sepuluh tahun, namun rakyatnya tidak mendapat manfaat dan pembelaan.

Bagi calon Parti Warisan Sabah N.70 Kukusan, Rina Jainal, dia berpegang kepada pesanan Presiden parti bahawa wakil rakyat adalah milik rakyat.

Sehubungan itu, jika mendapat mandat rakyat Kukusan pada 26 September ini, Rina sudah bersedia menggalas amanah dan tanggungjawab besar membela nasib rakyat diwakilinya.

Sementara itu, kekalahan tipis dengan majoriti 174 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, dua tahun lalu, tidak mematahkan semangat Andi Rus Diana Andi Paladjareng, calon Parti Warisan Sabah di N.67 Balung untuk terus berkhidmat untuk rakyat.

18 September 2020.