Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 18 October 2020

Bersama Hikma Juni

* Sabah mencatatkan 6 kes kematian, 702 kes positif baharu dan 1 kluster baharu Covid-19 yang dikenal pasti sebagai Kluster Penjara Kepayan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes kematian dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, 2 lagi kes di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan dua kematian di Hospital Tawau.

Kesemua pesakit berusia antara 41 hingga 70 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Ia melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang lelaki dan wanita rakyat asing.

Tambahan kes terbaru ini menjadikan kes kematian di Sabah meningkat kepada 61 kes.

49 kes positif COVID-19 hari ini adalah daripada kluster baharu, kluster Penjara Kepayan.

Tiga lagi daerah berada dalam zon merah iaitu Kudat, Keningau dan Tambunan.

* Kerajaan Negeri menjangka bilangan kes Covid-19 di Sabah akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari susulan masih terdapat 11,000 sampel yang belum diperoleh keputusannya kata
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

* Dalam sidang media itu, Datuk Seri Masidi meminta rakyat untuk memahami keputusan kerajaan negeri untuk tidak melaksanakan perintah berkurung kerana langkah itu untuk memastikan rakyat dapat terus menjana pendapatan di masa yang sukar ini.

Tambahnya, beliau faham penularan Covid-19 amat membimbangkan, namun kerajaan juga faham kesukaran yang dilalui oleh golongan berpendapatan rendah sekiranya perintah ‘lockdown’ dikuat kuasakan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat keperluan untuk memastikan ekonomi bergerak seiring dengan usaha kerajaan menangani wabak Covid-19 di negeri ini.

Beliau turut menjelaskan rasional ketiadaan Kementerian Kesihatan di Sabah dalam berdepan
pandemik Covid-19 ketika ini.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sudah dibenarkan keluar dari wad Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu pagi tadi selepas disahkan pulih daripada jangkitan Covid-19.

Turut dibenarkan pulang, isterinya Datin Seri Julia Salag.

Dalam kenyataan medianya, beliau bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan wabak itu.

Katanya, yang penting ialah rakyat mesti berdisiplin, bekerjasama dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard, SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaan kepada Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Christina Rundi, Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr. William Gotulis, Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Dr. Lee Heng Gee, doktor-doktor pakar dan jururawat yang telah merawat beliau dan isterinya.

Hajijj turut menghargai semua yang mendoakan kesembuhan dan kesihatan beliau dan juga para petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus berkorban masa dan tenaga dalam membendung penularan wabak Covid-19.

* Meskipun berdepan pelbagai cabaran dan rintangan, petugas barisan hadapan terus gigih memerangi pandemik Covid-19 di Sabah.

Mereka sanggup membelah lautan untuk melakukan saringan Covid-19 di kalangan komuniti di perkampungan atas air.

Semalam, sepasukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM dilengkapi pakaian perlindungan diri, PPE menaiki bot selama kira-kira 20 minit untuk ke Kampung Lok Urai di Pulau Gaya tidak jauh dari pusat bandar raya Kota Kinabalu.

Penugasan di Pulau Gaya dilakukan selama kira-kira satu jam sebelum hasil saringan dibawa dengan menaiki bot untuk ujian makmal.

* Polis Daerah Penampang menafikan dakwaan mesej tular melalui WhatsApp mengenai individu yang dikenakan kompaun atas kesalahan tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB.

Mesej tular yang menyatakan penumpang dalam kenderaan persendirian perlu duduk di belakang adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim berkata, imej kompaun yang dikeluarkan oleh IPD Penampang itu berkaitan dengan kesalahan tiga individu menaiki sebuah kenderaan dari satu lokasi sekatan jalan raya Jalan Penampang-Papar pada 16 Oktober.

18 October 2020.