Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 18 November 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Pilihan Raya Kecil, PRK Parlimen Batu Sapi ditangguhkan ke tarikh lain selepas Yang Dipertuan Agong memperkenan pelaksanaan darurat di kawasan itu bagi membendung wabak Covid-19.

Permohonan pelaksanaan darurat itu dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menghadap Seri Paduka di Istana Negara petang tadi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri yang menasihati baginda berkenaan cadangan itu.

Perdana Menteri memaklumkan pengisytiharan darurat di Parlimen Batu Sapi itu hanyalah bertujuan untuk membatal dan menangguhkan PRK Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat.

Peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri, September lalu, telah diambil kira.

Sehingga hari ini, Sabah merekodkan 24, 269 Kes Covid-19 dengan 181 kematian.

Katanya kehidupan penduduk di kawasan parlimen berkenaan tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat itu.

Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi manakala pentadbiran kerajaan dan kegiatan ekonomi, diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan prosedur operasi standard, SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB yang sedang berkuat kuasa di Sabah.

Muhyiddin berkata kerajaan Perikatan Nasional memberi jaminan bahawa apabila pandemik Covid-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

* Kerajaan Sabah menyokong penuh keputusan menangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi melalui pelaksanaan perintah darurat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyifatkannya satu keputusan bijak memandangkan pandemik Covid-19 masih berlaku di Sabah dan mengancam kesihatan rakyat.

Tegasnya, keperluan untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 dan melindungi rakyat, jauh lebih penting.

Hajiji turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengekang penularan pandemik itu.

* Dua kes kematian, 387 kes positif dan tiga kluster baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah, hari ini.

387 kes positif baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah kini 24, 269 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster baharu itu adalah kluster Sabaru di Lahad Datu, kluster Tomher di Ranau dan kluster Garden di Tawau dengan keseluruhan 85 kes positif baharu.

Manakala, dua kes kematian di Sabah hari ini dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan melibatkan pesakit lelaki berusia 59 tahun dan pesakit wanita berusia 62 tahun.

Jumlah kumulatif kes kematian di Sabah kini 181 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata daerah Ranau kembali menjadi zon jingga dengan pertambahan kes baharu hari ini.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah kekal dengan 6,358 katil dengan peratus penggunaan 31.46 peratus.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD dilaksanakan di Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon, Kota Belud, mulai 20 November sehingga 3 Disember, membabitkan 1,740 penduduk.

PKPD di Pusat Tahanan Sementara Tawau, Penjara Sandakan dan kuarters penjara Taman Wira, Sandakan dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 3 Disember.

* Pemberian IMM13 selaku dokumen tunggal bagi pelarian Filipina di Sabah akan dilaksanakan secara berperingkat kepada pemegang Sijil Bancian dan Sijil Burung-burung.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Bin Md. Yusof berkata, ia seperti mana yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 14 Jun lalu.

Katanya, sehingga 2016, Seramai 136,055 orang pelarian Filipina direkodkan berada di Sabah berdasarkan hasil semakan silang yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara, MKN Sabah, Jabatan Imigresen Negeri Sabah dan Jaba

tan Ketua Menteri Sabah.

* Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bugaya Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Bugaya, Semporna, pada 4.45 pagi tadi.

Jenazah tiba di Semporna dari Kota Kinabalu pada 3.30 pagi melalui jalan darat.

Terdahulu jenazah dimandikan dan disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu pada 4 petang, sebelum dibawa ke Semporna.

Upacara pengebumian itu dijalankan dengan kehadiran sebilangan ahli keluarga.

* Kerajaan perlu mempertingkatkan pembelian aset dan pembinaan makmal kesihatan di Sabah untuk mengelakkan keputusan ujian sampel Covid-19 tertangguh.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, Sabah menerima diantara 4,000 hingga 7,000 sampel sehari, namun kapasiti tiga makmal ujian Covid-19 peringkat Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR)  tidak mampu menampung.

* Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ESSCOM menubuhkan pasukan petugas bagi membanteras kes samun dan rompakan laut di perairan Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE.

18th November 2020.