Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 18 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah yang berjaya dilangsungkan selama tiga hari dengan mengambil langkah pencegahan wabak Covid-19 sepatutnya menjadi contoh untuk Dewan Rakyat turut bersidang seperti biasa.

Bagaimanapun kuasa politik mendahului segala-galanya apabila wabak Covid-19 dijadikan alasan untuk Dewan Rakyat yang bersidang hari ini hanya untuk mendengar Titah Diraja tanpa ada perbahasan.

Tegas beliau, Dewan Rakyat sepatutnya menjadi gedung untuk berbahas tetapi disebabkan tiada perbahasan, maka institusi demokrasi itu kini boleh digelar sebagai gedung bisu.

Tun Dr. Mahathir berkata, langkah pencegahan yang dilakukan di Dewan Rakyat hari ini juga cukup baik yang menggambarkan sidang Parlimen selama lapan hari sepatutnya boleh dilaksanakan jika kerajaan mahu meneruskannya.

* Semua penerbangan sewa khas untuk membawa pulang hampir 7,000 pelajar institut pengajian tinggi, IPT ke Sabah sebelum Hari Raya Aidilfitri, terpaksa dijadualkan semula bagi mengelakkan kesesakan di pusat-pusat kuarantin.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata pelajar IPT yang baru pulang ke Sabah perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin sehingga keputusan ujian makmal Covid-19 mereka diperolehi.

Prosedur itu perlu dilakukan kerana pergerakan balik kampung pelajar tanpa disaring membawa risiko penularan jangkitan Covid-19 ke kampung halaman.

Sejak 1 Mei lalu, sejumlah 17,626 orang termasuk pelajar IPT pulang ke Sabah melalui pintu-pintu masuk utama negeri Sabah.

* Penerbangan sewa khas untuk membawa pelajar institut pengajian tinggi, IPT di Semenanjung Malaysia pulang ke Sabah hanya ditunda buat sementara dan bukannya dibatalkan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, penerbangan sewa khas melibatkan 6,796 orang pelajar itu terpaksa ditangguhkan sementara bagi membolehkan penempatan pelajar di pusat-pusat kuarantin dapat dilakukan dengan lebih terancang, sehingga keputusan ujian swab Covid-19 mereka diperolehi.

* Semua pemilik premis perniagaan dan jabatan kerajaan yang beroperasi boleh menggunakan aplikasi Sabahtrace yang diperkenalkan Kerajaan Sabah bagi menyimpan maklumat setiap pelanggan seperti  nama, nombor telefon dan suhu badan ketika berurusan.

Aplikasi tersebut merupakan inovasi yang diperkenalkan bagi memastikan penyimpanan maklumat pelanggan termasuk suhu badan dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Untuk menggunakan aplikasi ‘Sabahtrace’, pengguna hanya perlu mendaftar di https://sabahtrace.my untuk mendapatkan QR ID Entry dan seterusnya mencetak QR Code untuk dipamerkan di ruang pintu masuk utama premis masing-masing.

Para pekerja dan pengunjung hanya perlu menggunakan aplikasi QR Code Reader bagi membolehkan imbasan ke atas QR Code Premis dan seterusnya mendaftarkan nama dan nombor telefon ke dalam sistem.

* Polis menahan 14 individu termasuk empat wanita dan merampas 1,400.99 gram ganja dan 698.51 gram syabu bernilai RM107,200 dalam dua kes berasingan di sekitar Kota Kinabalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, dalam kes pertama, Jabatan Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Ibu pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu menahan 13 individu termasuk empat wanita berusia antara 18 dan 27 tahun dalam empat serbuan berasingan pada 15 Mei lepas.

Manakala dalam kes kedua, seorang lelaki warga asing ditahan bersama 98 gram syabu bernilai RM14,700 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Sulaman, Menggatal, semalam.

Kesemua suspek berkenaan ditahan reman tujuh hari sehingga 22 Mei ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

* Pesuruhjaya Polis Sabah  Datuk Zaini Jass mengesahkan penahanan Ketua Wira Warisan  Bahagian Kota Belud yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penagihan dadah berhampiran Kem Paradise, Kota Belud, jam 9.48 malam, Sabtu lalu.

Katanya, selain positif dadah, polis turut menemukan 0.11 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM50 di dalam kenderaan suspek.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

* Wira Warisan Sabah menegaskan tiada mana-mana individu atau pemimpin parti itu yang kebal daripada tindakan undang-undang jika didapati melakukan apa-apa kesalahan jenayah.

Timbalan Ketuanya, Mohd. Ismail Ayob berkata, berikutan itu, Wira Warisan Sabah menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat Ketua Wira Warisan Kota Belud yang ditahan semalam dipercayai berkaitan penyalahgunaan dadah.

* Tentera Darat Malaysia terus meningkatkan pemantauan di semua sempadan negeri Sabah dalam usaha memastikan ia tidak dibolosi anasir luar.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata Malaysia telah menubuhkan pasukan petugas kebangsaan bagi menentukan perairan serta daratan negara tidak mudah dibolosi khususnya di lorong tikus yang  sudah lama wujud.