Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 18 March 2021

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Sekurang-kurangnya 100 ekor babi liar di hutan simpan Sabah, ditemukan mati sehingga semalam disyaki akibat Demam Babi Afrika, ASF, kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar, Sabah Augustine Tuuga.

Katanya, sejak penemuan 14 bangkai haiwan itu di Kinabatangan antara Disember dan Januari lepas, hampir setiap hari pihaknya menemukan sekurang-kurangnya satu bangkai babi liar daripada spesies Babi Berjanggut Borneo itu.

* Kemasukan pelaburan ke Sabah lebih mudah dibawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah, GRS susulan langkah berterusan kerajaan untuk mengurangkan karenah birokrasi yang selama ini menjadi penghalang utama kepada kemasukan pelabur ke negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata kerajaan negeri juga bekerjasama dengan sektor swasta termasuk pelabur asing yang berminat untuk melabur di Sabah.

Beliau berkata, Sabah perlu menarik kemasukan pelabur asing dalam usaha membangunkan semula ekonomi bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.

* Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, LPNM akan diwujudkan di Sabah bagi meningkatkan produktiviti ladang dan pendapatan pengusaha nanas di negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata perkara tersebut telah dibincangkan bersama Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan bakal direalisasikan dalam masa terdekat.

Menurut Ronald, industri penanaman nanas di Sabah masih perlahan berbanding di Semenanjung Malaysia.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali meningkat dengan 73 kes dilaporkan hari ini berbanding 31 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 074 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata satu kes kematian dan dua kluster baharu dilaporkan di Sabah, hari ini.

Kes kematian itu dilaporkan di daerah Kudat.

2 Kluster baharu yang dilaporkan ialah Kluster Melaman di Sipitang yang merekodkan 14 kes kumulatif dan Kluster Kampung Padang Tembak di Keningau dengan 21 kes kumulatif.

Kes indeks Kluster Melaman adalah seorang guru wanita berusia 37 tahun di sebuah sekolah rendah di Sipitang yang disahkan positif ketika saringan kemasukan ke wad.

Kes indeks Kluster Kampung Padang Tembak adalah seorang pelajar berusia 15 tahun yang menjalani saringan untuk merentas negeri ke Wilayah Persekutuan Labuan.

* Seorang anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM Sabah kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM1,500 daripada seorang individu yang telah melakukan kesalahan maritim.

Lelaki berusia 28 tahun yang bertugas di Kota Kinabalu itu ditahan kira-kira pukul 7.30 petang semalam di Sepanggar

* Kontraktor yang bertanggungjawab dalam menaik taraf Hospital Tawau telah menyatakan komitmen untuk menyiapkan projek tersebut mengikut masa yang ditetapkan.

Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing berkata, beliau telah berhubung dengan kontraktor terbabit sebagai langkah memastikan kemudahan infrastruktur untuk rakyat Tawau itu dapat disiapkan.

Katanya, Jabatan Kerja Raya, JKR juga telah menyatakan bahawa pembinaan bangunan baharu bernilai RM223 juta itu masih di dalam julat jadual ditetapkan selepas ditangguhkan sejak Mei 2020 akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP.

* Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP Labuan menahan sebuah kapal tangki dengan muatan 800,000 liter diesel bernilai RM1.8 juta di perairan Labuan semalam.

Ketua Penguatkuasanya Anual Kannari berkata kapal itu ditahan kira-kira 2 petang kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan diesel bersubsidi tanpa lesen.

* Tiga lelaki ditahan Pasukan Polis Marin, PPM Kota Kinabalu kerana dipercayai melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan Taburan, Kota Belud, tengah hari semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, ASP Roslan Awang berkata kegiatan itu berjaya dipatahkan menerusi Op Benteng dan Op Gelora Khas yang dilancarkan PPM.

* Pengurusan Sabah FC mengeluarkan amaran keras kepada Ketua Jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berikutan prestasi hambar dalam saingan awal Liga Super Malaysia 2021.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, pihak pengurusan sangat kecewa atas tiga kekalahan berturut-turut yang dialami The Rhinos pada tiga perlawanan terakhir mereka.

18th March 2021.