Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 18 June 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* “Sabah New Deal”, pakej fasa kedua bagi membantu mengaktifkan semula, memulih dan menyuburkan kembali sektor-sektor ekonomi yang terjejas di Sabah susulan wabak Covid-19 dilancarkan hari ini, dengan peruntukan bernilai RM240 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata inilah masanya untuk membina semula Sabah agar menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata, “Sabah New Deal” adalah kesinambungan kepada Pakej Bantuan Covid-19 Sabah berjumlah RM670 juta yang diumumkan pada 25 Mac lalu.

Dengan itu, secara keseluruhan sejumlah RM910 juta diperuntukkan bagi fasa satu dan dua, Pakej Bantuan Covid-19 Sabah.

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM30 juta untuk menyokong usaha-usaha berterusan membendung dan menangani penularan wabak Covid-19 di Sabah.

* Dalam sidang medianya selepas itu, Ketua Menteri berkata kerajaan Perikatan Nasional, PN semakin terdesak untuk mengukuhkan majoriti bagi memastikan Persidangan Belanjawan di Dewan Rakyat akan datang mendapat sokongan majoriti mudah daripada Ahli Parlimen.

Kedudukan kerusi yang masih belum berpihak kepada PN menyebabkan ada usaha daripada pihak kerajaan membeli wakil rakyat di Sabah agar berpaling tadah.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, pelbagai persepsi yang ditimbulkan oleh PN kononnya Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah akan melompat parti merupakan sebahagian daripada langkah yang sengaja direka oleh mereka.

Beliau yang juga Presiden Warisan berkata, kestabilan politik Sabah turut cuba digugat oleh PN dengan menarik Ahli Dewan Undangan Negeri Kerajaan Sabah menyokong mereka, namun perkara itu tidak akan berlaku sama sekali.

Sehubungan itu, beliau menolak sama sekali desas-desus yang mengatakan kononnya Sabah akan mengadakan pilihan raya mengejut untuk menyelesaikan kemelut politik jika PN berjaya membeli wakil rakyat Sabah untuk menyokong mereka.

Tegas beliau, kerajaan sekarang masih mempunyai tempoh lebih dua tahun, justeru fokus utama adalah membela nasib rakyat dan memajukan semula ekonomi negeri selepas terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

* Ketua Menteri turut mengingatkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yassin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili serta Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bahawa pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci tidak layak untuk menerima dokumen IMM13.

Ini kerana pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci adalah warga asing dari Filipina yang masuk secara haram ke Sabah tetapi diberikan dokumen tersebut oleh parti Berjaya dan Parti Bersatu Sabah, PBS semasa mereka memerintah Sabah suatu ketika dulu.

Katanya,  pemegang IMM13

adalah pelarian perang yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, justeru mereka diberikan dokumen tersebut untuk tinggal di negeri ini.

Datuk Seri Mohd. Shafie berkata, ketiga-tiga pemimpin berkenaan sepatutnya sedar dengan hal tersebut dan menentang bukannya menyokong apa sahaja dasar Putrajaya selepas masing-masing mendapat jawatan.

* Ketua Menteri juga berkata tumpuannya kini adalah untuk memajukan rakyat dan negeri Sabah, bukannya mahu mengejar jawatan tertentu seperti Timbalan Perdana Menteri sebagaimana yang diwar-warkan pihak tertentu.

* Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan seorang peguam, Michael Persius Ubu untuk melakukan pecah amanah melibatkan pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, RISDA bernilai RM15,545,400.

Peter yang sebelum ini didakwa atas lima pertuduhan berkaitan kes tersebut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

* Sementara itu, Datuk Seri Mohd Shafie berkata tiada keperluan untuk meminta Datuk Peter Anthony, yang kini berdepan 6 pertuduhan di mahkamah,  bercuti daripada tugasnya sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

* Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah bersetuju membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah serta aktiviti masjid dan surau di seluruh negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, PKPP mengikut ketetapan, berkuat kuasa esok.

Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata kebenaran solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah adalah berdasarkan kapasiti sebenar keluasan masjid atau surau serta kemampuan ahli jawatankuasanya dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard, SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, JHEAINS

Beliau berkata jemaah bergejala seperti demam, batuk, selsema, sesak nafas dan sakit tekak termasuk yang menghidap penyakit kronik, kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau dalam tempoh itu.

* Selepas tiga bulan ditutup berikutan pandemik Covid-19, gereja di kawasan zon hijau dan  kuning kini dibenarkan beroperasi semula di Sabah.

Pembukaan semula rumah-rumah ibadat bukan Islam itu adalah tertakluk kepada pematuhan SOP baharu yang ditetapkan Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

* Cubaan tiga sekeluarga

menyeberangi sungai Kampung Kalangkanar, Tenom, untuk ke kebun

dengan menggunakan sebuah perahu kecil, petang semalam  berakhir dengan tragedi apabila perahu itu karam, menyebabkan seorang kanak kanak lelaki berusia 8 tahun dan bapanya berusia 40an mati lemas.

Gerakan mencari seorang lagi mangsa kejadian itu, kanak kanak berusia 10 tahun  ditangguhkan 4.45 petang tadi dan akan disambung semula esok.