Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 18 Januari 2021

Bersama Hikma Juni.

* Kerajaan melancarkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia, PERMAI bernilai RM15 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pakej bantuan PERMAI ini menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.

Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah PERMAI yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.

* Bilangan mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 716 orang dari 11 daerah sehingga 4 petang tadi berbanding 407 orang dari sembilan daerah yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara, PPS, 8 malam semalam.

Berdasarkan kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, 716 mangsa banjir itu terdiri daripada 208 keluarga yang dipindahkan ke 17 PPS.

PPS berkenaan dibuka di sembilan daerah iaitu Beaufort, Paitan, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Kota Belud, Tuaran, Papar dan Tenom.

Setakat ini 225 kampung terjejas banjir di 11 daerah.

* Kerajaan negeri akan melantik kontraktor tempatan yang berwibawa bagi melaksanakan kerja-kerja pengorekan pasir bagi mendalamkan sungai di daerah Kota Belud, terutama di Kuala Abai.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, muara sungai yang cetek dilihat menjadi punca banjir sering berlaku di daerah itu.

* Bilik Gerakan Jawatankuasa Bencana Banjir di Pejabat Daerah Kecil Tamparuli telah diaktifkan sebagai persiapan bagi memindahkan penduduk sekiranya paras air semakin naik.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata beliau telah meminta Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, UPPM Tamparuli dan Pejabat ADUN Tamparuli untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Ini bagi membolehkan penyaluran bantuan dan pemindahan mangsa-mangsa banjir, dilakukan dengan baik.

* Selepas mencatatkan penurunan selama dua hari berturut-turut, kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali meningkat dengan 432 kes dilaporkan hari ini berbanding 393 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 44, 076 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata satu kes kematian direkodkan di Sabah hari ini iaitu di Kudat.

Dua Kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Jalan Bukit Bendera dengan kumulatif 18 kes positif setakat ini.

Satu lagi ialah Kluster Kompleks Segamaha di Kinabatangan dengan 58 kes kumulatif setakat ini. Kluster ini berkaitan dengan pekerja ladang kelapa sawit di kompleks Segamaha.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud sejak 5 Januari lalu, ditamatkan hari ini sebagaimana yang dijadualkan.

* Polis Kontinjen Sabah sedang menyiasat perbuatan sekumpulan individu meminum bir ketika ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, PKRC di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya sudah menerima laporan dibuat oleh kakitangan di pusat kuarantin berkenaan susulan video yang tular di media sosial sejak Sabtu lalu.

18th January 2021.