Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 18 Februari 2021

Bersama Hikma Juni.

* Kerajaan negeri menyerahkan 177 geran tanah membabitkan kawasan seluas 1,933.09 hektar kepada beberapa agensi persekutuan bagi pembinaan sekolah, hospital, balai polis, balai bomba dan kemudahan lain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pemberian geran tanah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan semua rakyat di negeri ini mendapat manfaat pembangunan.

Beliau berkata, daripada 177 geran tanah tersebut, sebanyak 90 diserahkan kepada agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan 42 geran untuk Kementerian Kesihatan Malaysia.

Manakala, sebanyak 28 geran diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan 17 geran lagi untuk agensi lain yang berkaitan.

* Kerajaan negeri menyumbangkan RM1.5 juta kepada Hospital Universiti Malaysia Sabah, UMS atas usaha universiti berkenaan membantu menjalankan ujian saringan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyampaikan sumbangan itu kepada Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Madya Dr Ramzah Dambul dalam satu majlis ringkas, di Kota Kinabalu, siang tadi.

Dalam majlis sama, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Ir Shahelmy Yahya yang juga Presiden Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, MPMS menyampaikan 5,000 peralatan perlindungan peribadi, PPE kepada Ketua Menteri untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Sabah.

* Pesta Kaamatan peringkat negeri tahun ini akan diadakan secara dalam talian, sesuai dengan norma baharu bagi mengekang penularan wabak COVID-19, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata mesyuarat pertama jawatankuasa sambutan Kaamatan yang dipengerusikan beliau, diadakan secara dalam talian semalam.

Jawatankuasa itu memutuskan tema untuk sambutan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Aiso Wolit Montok Piompunan om Pibabasan’ (Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Pendamaian dan Keamanan).

* Hubungan erat Kerajaan Persekutuan dan negeri berjaya melandaikan keluk pandemik Covid-19 di Sabah.

Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Noor bersyukur kerana dalam tempoh dua minggu ini, jumlah kes Covid-19 di Sabah telah menunjukkan trend penurunan.

Katanya ini adalah hasil usaha dan kerjasama erat semua pihak termasuk petugas di jabatan serta agensi sama ada kerajaan negeri mahupun persekutuan dalam memutuskan rantaian Covid-19.

* Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya siasatan terhadap keluarga yang menghidangkan telur penyu semasa makan malam Tahun Baharu Cina baru-baru ini, dihentikan.

Beliau berkata, ketika ini Jabatan Hidupan Liar Sabah masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu.

* Kawalan keselamatan khususnya di sempadan perlu dipertingkat bagi mengelak sebarang aktiviti keganasan yang memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi negara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali dalam sebuah portal berita baru-baru ini mengenai kumpulan pengganas yang telah menyelinap masuk ke kawasan pedalaman Sabah amat membimbangkan.

* Malaysia mencatatkan kes kematian harian tertinggi hari ini dengan 25 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 1,030 kes bersamaan 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia.

Namun Malaysia mencatatkan kes sembuh melebihi 5,000 buat kali ketiga dengan 5,320 pesakit dilaporkan telah pulih dari jangkitan Covid-19 hari ini.

Kes positif baharu harian di Malaysia sekali lagi mencatatkan angka di bawah 3,000 dengan 2, 712 kes dilaporkan hari ini.

Kes positif baharu di Sabah kembali meningkat dengan 114 kes dilaporkan hari ini berbanding 94 kes semalam menjadikan jumlah kumulatif kini 51,769 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun
berkata tiga kes kematian dilaporkan hari ini iaitu 2 di Hospital Tawau dan satu di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Dua kluster baharu turut dilaporkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Lot Satu dengan 9 kes kumulatif dan Kluster Lot Tujuh dengan 8 kes kumulatif, kedua-duanya di Penampang.

Kluster Lot Satu melibatkan pekerja sebuah restoran di Lot 1, Pekan Donggongon manakala Kluster Lot Tujuh melibatkan pekerja sebuah restoran di Lot 7, Majukota Commercial Centre, Penampang.

* Seramai 28 orang pendatang asing tanpa izin, PATI termasuk kanak-kanak berusia lima tahun ditahan Jabatan Imigresen Malaysia, negeri Sabah dalam Operasi Bersepadu (Serkap) di Lahad Datu, kelmarin.

Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun turut ditahan kerana disyaki melanggar Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran, ATIPSOM 2007.

Kesemua PATI warga Indonesia berusia antara 5 hingga 55 tahun itu bersembunyi dalam sebuah lori treler dan dipercayai dalam perjalanan keluar dari Lahad Datu melalui Tawau ke Indonesia.

18th February 2021.