Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 17 September 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Keluasan tanah yang dimiliki kroni Tan Sri Musa Aman lebih luas daripada Singapura.

Saiz keseluruhan tanah Singapura ialah kira-kira 72,200 hektar tetapi keluasan tanah yang dimiliki kroni Tan Sri Musa lebih luas iaitu 86,728 hektar.

Demikian fakta yang didedahkan Jabatan Perhutanan Sabah berhubung enam syarikat kroni Musa yang menerima kontrak pembalakan bagi tempoh 34 tahun sehingga 100 tahun di Kalabakan, Tibow dan Serudong.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd Jaini bagaimanapun tidak menyebut nama Musa dalam sidang akhbar berkenaan, namun nama-nama pemilik syarikat yang ada dalam senarai diberikan kepada media diketahui adalah kroni bekas Ketua Menteri itu.

* Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah ke 16 cukup bersejarah dan mesej yang beliau mahu sampaikan adalah ‘Sabah Kita Punya’.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Sabah untuk bangkit bersuara menolak parti Malaya dalam PRN ini dan menunjukkan kepada pemimpin dari Kuala Lumpur bahawa rakyat Sabah tahu apa yang orang Sabah mahukan.

* Ketika di Tuaran semalam, Datuk Seri Mohd Shafie berkata sudah tiba masanya untuk rakyat Sulaman melihat perubahan di kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN itu.

Beliau berkata, Datuk Seri Hajiji Noor sudah cukup lama berkhidmat di kawasan itu, namun keadaan di Sulaman masih jauh ketinggalan. Selain itu Hajiji juga dijadikan alat oleh Kuala Lumpur bagi mendapatkan sokongan rakyat.

* Datuk Seri Mohd Shafie berkata kemasukan beberapa penyokong tegar UMNO termasuk Ketua Wanita UMNO Tuaran ke dalam Parti Warisan Sabah dalam Majlis Bersama Rakyat DUN Sulaman dan Pantai Dalit memberi petanda kedudukan Warisan semakin bertambah kukuh di kawasan tersebut.

* Mengulas mengenai dakwaan kononnya bantuan RM300 kepada golongan yang terjejas akibat Covid-19 yang dikatakan Hajiji tidak sampai kepada rakyat, Datuk Seri Mohd Shafie sekali lagi menjelaskan, bantuan itu adalah untuk rakyat yang tersenarai dalam e-Kasih bagi golongan B40.

Beliau mengingatkan pembangkang agar berdepan dengan hakikat sebenar bahawa mereka gagal membangunkan Sabah.

* Ketika di Kiulu pagi tadi, Datuk Seri Mohd Shafie berkata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau akan kekal sebagai Timbalan Ketua Menteri jika Warisan Plus kembali sebagai pemerintah pada Pilihan Raya PRN Sabah, 26 September ini.

* Pemberian kad pengenalan biru kepada pendatang asing tanpa izin, PATI di Sabah bermula pada tahun 1991 hasil operasi khas UMNO bagi menambah jumlah pengundi mereka untuk menumbangkan Parti Bersatu Sabah, PBS.

Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, maklumat tersebut boleh diperoleh dalam hansard Parlimen bertarikh 26 Februari 2007 hasil pendengaran awam Jawatankuasa Khas Parlimen yang mendengar kenyataan ahli UMNO bernama Jabar Khan.

* Sekumpulan pemilik kedai di Lido Plaza, Kota Kinabalu menggesa pihak berkuasa tempatan, PBT agar membantu menyelesaikan masalah akses jalan yang ditutup di kawasan tersebut.

Penduduk sudah dua kali mengemukakan bantahan berikutan penutupan jalan di situ kepada Majlis Daerah Penampang, dan kini mereka sekali lagi meminta pihak berkuasa untuk tindakan segera.

Difahamkan akses jalan di situ ditutup kerana seorang pemimpin politik membina tembok rumah yang bersebelahan dengan Lido Plaza. Berdasarkan maklumat pemilik kedai di Lido Plaza, rumah berkenaan dimiliki Presiden Parti Liberal Demokratik, LDP Datuk Chin Su Phin.

* Calon Parti Warisan Sabah DUN Sungai Sibuga, Armani Mahiruddin yakin mampu menawan kerusi DUN itu yang menjadi kubu kuat bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Armani yang juga adik kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata, keyakinan itu berdasarkan pertemuannya dengan pengundi dalam setiap kempen rumah ke rumah sejak hari penamaan calon, 12 September lalu.

Armani berkata, kempennya berjalan lancar dengan lima daripada sembilan Pusat Daerah Mengundi di DUN Sungai Sibuga sudah dikunjunginya.

* Calon Parti Warisan Sabah DUN Karamunting, George Hiew berazam untuk menjadikan Kampung Pukat dan pantai Pasir Putih di Sandakan sebagai pusat pelancongan baharu jika diberi mandat menjadi wakil rakyat semula di kawasan itu, 26 September depan.

* Kluster Benteng LD mula menjangkiti kontak yang berada di luar pusat tahanan dimana ia membabitkan enam pelajar dan tujuh guru dari tiga buah sekolah di Lahad Datu.

17 September 2020.