Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 17 October 2020

Bersama Hikma Juni.

* 4 kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini. 2 kes di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan masing-masing satu kes di Hospital Tawau dan Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Kes kematian melibatkan 3 lelaki dan seorang wanita berusia di antara 53 hingga 88 tahun.

2 daripadanya mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik, kencing manis, dislipidemia dan strok.

451 kes positif baharu direkodkan di Sabah hari ini. 1 kluster baharu turut dikenal pasti iaitu Kluster Teduh di Lahad Datu.

4 hospital swasta di Sabah juga bersetuju untuk membantu rawatan pesakit bukan Covid-19.

Hospital berkenaan ialah Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, Hospital Pakar KPJ Sabah, Jesselton Medical Centre dan Tawau Specialist Medical Centre.

* Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini adalah 6,737 kes dan sehingga hari ini seramai 2,596 pesakit dilaporkan telah sembuh.

Manakala 4,086 pesakit sedang menerima rawatan di hospital.

Meskipun laporan harian menunjukkan kes COVID-19 yang agak tinggi
setiap hari di Sabah, rakyat diminta untuk tidak panik dan kekal bertenang.

Peningkatan kes di Sabah adalah hasil saringan lapangan yang diperluaskan serta bersasar di kawasan jangkitan di sebelas daerah zon merah iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna,
Kunak, Tuaran, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Sandakan, Papar
dan Kota Belud.

Kerajaan merayu kerjasama masyarakat di negeri ini yang bergejala dan
mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19 untuk segera
membuat saringan di hospital-hospital atau klinik-klinik berhampiran di
kawasan masing-masing.

Pengagihan bantuan bakul makanan (food basket) kepada golongan
Sasar, berjalan lancar dan sehingga hari ini, 42,580 bakul makanan
telah diagihkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Menteri Kewangan II akan mengadakan sidang media pada setiap hari mulai esok untuk memberi status terkini penularan COVID 19
di Sabah.

Bagi membendung pandemik COVID-19 di negeri ini, masyarakat digesa untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard, SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri ini.

* Sejumlah 14,000 tan kelengkapan perubatan serta 73 pegawai dan anggota dihantar ke Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia, ATM di Tawau, menerusi penerbangan pesawat pengangkut A400M Tentera Udara Diraja Malaysia dari Pangkalan Udara Subang,  pagi tadi.

Kelengkapan perubatan serta petugas kesihatan terbabit berlepas pada kira-kira 8.30 pagi dan mendarat di Tawau sebelum dijadualkan kembali ke Subang dengan membawa balik sampel ujian saringan COVID-19 dari Sabah.

* Angkatan Tentera Malaysia, ATM terus memperkukuhkan Op Cegah Pendatang Asing Tanpa Izin, PATI atau OCP bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di kalangan PATI di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ESSCOM.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata fasa pertama OCP dilaksanakan di pantai timur Sabah bermula 18 September lalu bagi mengukuhkan OCP sedia ada di bahagian utara dan selatan Sabah.

Pelaksanaan operasi berkenaan akan terus diperkukuhkan dengan Op Benteng di bawah koordinasi Pasukan Petugas Kebangsaan dengan ATM sebagai agensi peneraju.

Menurutnya, seramai 12,104 anggota daripada pelbagai agensi di bawah NTF diatur gerak dalam memperkasakan Op Benteng dalam mengekang PATI daripada membolosi sempadan negara terutama melalui lorong tikus di seluruh negara.

* Tiada larangan kepada peniaga dan pengusaha industri di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB untuk beroperasi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, semua pihak berkuasa tempatan di negeri ini sudah dimaklumkan mengenai kebenaran pembukaan sektor ekonomi, industri dan perniagaan sepanjang tempoh PKPB.

Dr Joachim berkata, kebenaran untuk beroperasi merangkumi semua sektor seperti perkilangan, pembinaan, pertanian, perikanan, perladangan, pembangunan hartanah, logistik, peruncitan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun katanya, lokaliti yang dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD adalah terkecuali daripada SOP ini.

* Kerajaan Sabah akan menyalurkan bantuan kepada penduduk dan peniaga di daerah Putatan yang terjejas teruk akibat kejadian ribut malam tadi selepas segala maklumat yang berkenaan diperoleh.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmey Yahya berkata kementeriannya sedang mengumpul maklumat mengenai tahap kerosakan rumah dan struktur bangunan di kawasan terlibat dalam kejadian yang bermula dari 10 malam tadi hingga 1 pagi.

Antara kawasan yang terjejas ialah Pasar Tamu Sementara Putatan dan Kampung Pasir Putih Putatan.

Shahelmey juga telah meminta Majlis Daerah Putatan menilai struktur awam yang rosak dengan bantuan jurutera Jabatan Kerja Raya.

17 October 2020.