Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 17 November 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Belanjawan Sabah 2021 antara lain akan memberi fokus utama kepada usaha pemulihan semula ekonomi negeri termasuk memacu pembangunan sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Ketika memberi bayangan kerangka belanjawan negeri yang dijadual dibentangkan pada 18 Disember ini, beliau berkata kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap perancangan dan keutamaan yang digariskan dalam belanjawan itu berupaya membawa Sabah terus bergerak maju pada tahun depan.

Hajiji berkata Belanjawan Sabah 2021 juga akan memberi fokus ke arah memperkemaskan lagi jentera pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan segala pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih efisien.

* Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, 65, meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, tengah hari tadi akibat sakit buah pinggang.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan, Datuk Jaujan Sambakong berkata jenazah Allahyarhamah dibawa pulang ke Semporna selepas disembahyangkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal dan Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong melalui akaun Facebook menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Manis Muka, yang juga pemimpin yang turut menjadi penggerak awal parti Warisan.

* Selepas empat hari menunjukkan tren penurunan, kes positif Covid-19 di Sabah kembali meningkat.

4 kes kematian, 499 kes positif dan dua kluster baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini.

Kluster baharu itu ialah Kluster Avenue dan Kluster Kejora.

Kluster Avenue di Penampang membabitkan pekerja tapak pembinaan mencatatkan 110 kes positif.

Manakala Kluster Kejora di Kota Kinabalu merekodkan 9 kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini.

Dua kes kematian dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan masing-masing satu kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Hospital Tawau.

Pesakit, dua daripadanya rakyat asing, berusia antara 25 hingga 80 tahun, kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kronik.

* Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dilantik sebagai Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah GRS.

* Cubaan menyeludup 123,000 liter petrol ke negara jiran berjaya dipatahkan sepasukan anggota Angkatan Tugas Bersama 2, ATB 2 di perairan Pulau Ligitan, Semporna, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, seramai 17 individu termasuk lima warga tempatan ditahan di dalam bot kumpit dan kapal tangki di perairan terbabit.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,185,324

17th November 2020.