Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 17 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Kepimpinan Pertubuhan KDM Malaysia yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran negeri Sabah menolak retorik ‘cyber trooper’ pembangkang yang menjangkakan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal bakal hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Sabah.

Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony berkata, realiti politik masa kini menunjukkan kepimpinan negeri yang diterajui Warisan dengan kerjasama Pakatan Harapan kukuh dan berada di landasan yang memihak kepada rakyat.

Katanya retorik propaganda pembangkang hanya bertujuan meniupkan angin menggoyang pokok untuk mengeruhkan ketenangan politik dengan membuka ruang bagi orang-orang tertentu memberi gambaran negatif kepada kerajaan.

* Semua premis pajak gadai berlesen di seluruh negeri dibenarkan beroperasi semula bermula esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal dalam satu kenyataan berkata, kebenaran diberikan tertakluk kepada prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan dan peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan.

Aktiviti-aktiviti perniagaan pajak gadai yang dibenarkan adalah bayaran balik gadaian berjadual, bayaran balik caj keuntungan atas barang sandaran, transaksi gadaian baharu dan pajakan barang sandaran baharu.

* Pasukan Polis Marin, PPM merampas 90,000 liter minyak petrol bernilai RM117,900 daripada sebuah kapal tangki yang dipercayai cuba diseleweng ke negara jiran di perairan Gubbin Rock, Sandakan, 7.30 pagi tadi.

Turut ditahan, lima krew kapal berusia antara 23 hingga 61 tahun.

* Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP merampas 765 liter minyak petrol dan diesel yang dipercayai cuba diseleweng susulan serbuan ke atas sebuah stesen minyak dan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun di Telupid, awal pagi semalam.

* Sepasang suami isteri ditangkap setelah satu bungkusan berisi ganja mampat seberat 1,262 gram dengan anggaran nilai RM7,000 yang dihantar melalui perkhidmatan Pos Laju dari Kuala Lumpur, ditemui di bilik tidur pangsapuri mereka di Taman Perumahan Mutiara, Sungai Bedaun, Labuan, Jumaat lalu.

* Usaha menghalau kira-kira 100  ekor gajah yang menceroboh kawasan penempatan peneroka di Anjung Teduh, Felda Sahabat, Tungku, Lahad Datu, ke Hutan Simpan Tabin, kini dilakukan Jabatan Hidupan Liar.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu, Silvester Saimin berkata tugas menghalau itu digalas lapan kakitangan jabatan itu dengan dibantu komuniti peneroka di Felda Sahabat.

* Bermodalkan hanya sebuah kopiah, 15 tahun lalu, siapa sangka Ramalan Marufi, 36 tahun, kini layak bergelar pembuat kopiah profesional tempatan.

Bapa kepada dua orang anak di Tawau ini mula menceburkan diri dalam bidang berkenaan selepas membeli satu kopiah dan membawanya pulang ke rumah pada tahun 2005.