Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 17 March 2021

 

Bersama Salbinous Saribun.

* Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi, PEMERKASA bernilai RM20 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri ketika mengumumkan pakej baharu itu menjelaskan, ia membabitkan suntikan fiskal baharu kerajaan berjumlah RM11 bilion.

PEMERKASA akan menetapkan lima fokus utama iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, memastikan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat serta mentransformasi ekonomi.

Menerusi PEMERKASA, 20 inisiatif baharu dan sedia ada akan dilaksana menyentuh pelbagai bidang serta usaha bagi mengawal COVID-19, selain memperluas penerima manfaat khususnya kepada kumpulan B40, wanita, belia serta orang kelainan upaya, OKU.

* Kerajaan negeri akan mengambil inisiatif untuk membeli sendiri vaksin Covid-19 sekiranya bekalan vaksin untuk Sabah tidak mencukupi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagaimanapun yakin bekalan vaksin yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk negeri ini adalah mencukupi.

* Bantuan bakul makanan serta wang tunai RM500 daripada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, GRS disampaikan kepada semua mangsa kebakaran Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, Jumaat lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata pemberian bantuan itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan bebanan mangsa kebakaran.

Bagi penempatan semula mangsa-mangsa kebakaran, kerajaan akan melihat semula kaedah untuk membantu mangsa terjejas kerana mereka adalah rakyat Malaysia.

* Rakyat Sabah perlu terus menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, GRS agar kestabilan politik di negeri ini dapat dikekalkan demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kerajaan GRS belum sampai setahun mengambil alih tampuk pemerintahan di negeri ini.

Namun, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan untuk membantu rakyat serta membangunkan negeri ini.

* Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun dengan 31 kes dilaporkan hari ini berbanding 38 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 54, 001 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata dua kes kematian dan satu kluster baharu dilaporkan di Sabah, hari ini.

Dua kes kematian itu dilaporkan di daerah Sandakan dan Kinabatangan.

Kluster baharu iaitu Kluster Taman Ria Enam, Tawau merekodkan 17 kes kumulatif.

Kes indeks dalam kluster ini adalah seorang wanita berusia 46 tahun yang telah mengadakan majlis makan malam bersama keluarganya di sebuah restoran di Tawau dengan disertai 20 yang lain.

* Mantan Ahli Parlimen antara 14 individu ditahan oleh penguatkuasa Jabatan Perhutanan Sabah kerana dipercayai memburu di kawasan hutan simpan berdekatan Kawasan Konservasi Maliau Basin, Ahad lalu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dalam satu kenyataan petang tadi berkata tiada sebarang unsur campur tangan oleh pihak PDRM dalam siasatan kes ini.

Kes ini disiasat sepenuhnya oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan dibantu PDRM dan Jabatan Perhutanan.

Empat pegawai dan anggota polis antara 14 individu ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti pemburuan haram dan menyimpan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran di Hutan Simpan Sapulut, Kalabakan, Tawau, Ahad lalu.

Hazani berkata, tangkapan yang dilakukan Pasukan Khas SFD Protect, Jabatan Perhutanan Sabah itu dibuat pada 12.44 tengah hari di Kem Pembalakan Vivadaya di kawasan hutan simpan tersebut.

* Kempen derma darah untuk tabung darah Hospital Queen Elizabeth 1 dan 2 dianjurkan Kelab Rekreasi Mimpaagat Tokou Sabah, KRMTS dan Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth.

Setiausaha KRMTS Eddy Limbang berkata kempen itu akan diadakan Sabtu ini di Atrium Utama, ITCC Penampang bermula 10 pagi sehingga 4 petang.

Katanya, kempen derma darah itu adalah yang ketiga dianjurkan kelab berkenaan.

* Pemain Sabah FC perlu memperbaiki kelemahan sedia ada terutama memperbaiki gerakan penyudah untuk menjaringkan gol ketika berada di depan gawang gol pasukan lawan.

Ketua Jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, dalam perlawanan malam tadi menentang Sri Pahang FC yang menyaksikan Sabah tewas 1 -2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, bahagian serangan gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol.

Ini kekalahan ketiga Sabah dalam empat perlawanan Liga Super musim ini.

17th March 2021.