Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 17 June 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Kerajaan Persekutuan seharusnya berbincang dengan kerajaan Filipina terlebih dahulu berhubung cadangan menyeragamkan pelbagai dokumen rakyat asing di Sabah kepada hanya satu dokumen tunggal iaitu IMM13.

Ketua Wira Parti Warisan Sabah, Datuk Mohd Azis Jamman berkata  sekiranya kerajaan Filipina mengiktiraf pemegang IMM13 dengan mengeluarkan pasport, sudah pasti golongan itu telah dihantar pulang ke negara asal mereka sejak dahulu lagi.

Mohd Azis yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata dokumen IMM13 tidak mempunyai ciri keselamatan dan mudah dipalsukan.

Ketika ini terdapat kira kira 136,000 rakyat asing di Sabah yang memegang dokumen IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung Burung.

Masalah timbul apabila pemegang dokumen berkenaan tidak diiktiraf sebagai rakyat Filipina kerana lahir di Sabah selain tidak mempunyai keluarga atau saudara mara di Filipina.

* Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan kini menunjukkan wajah sebenar beliau yang tiada pendirian serius dalam perjuangan menghantar pulang warga asing dari Sabah.

Timbalan Ketua Wira Parti Warisan Sabah, Mohd. Ismail Ayub berkata, tidak hairanlah apabila Ahli Parlimen Keningau itu tiba-tiba sahaja menyokong agar dokumen IMM13 diberikan kepada pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Sedangkan dahulu, Jeffrey begitu lantang membawa isu pendatang asing tanpa izin , PATI tetapi hari ini beliau gembira serta berterima kasih kepada Kerajaan Perikatan Nasional dan ini menampakkan dirinya yang sebenar tidak mempunyai pendirian serius dalam menangani PATI.

* Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut, Datuk James Ratib sebenarnya mengintai peluang projek yang lebih besar bernilai ratusan juta ringgit daripada Kerajaan Persekutuan menyebabkan beliau sanggup mengkhianati mandat rakyat.

Ketua Wira Parti Warisan Sabah Beluran, Aslan Awang Damit berkata, selama dua tahun James bersama UPKO dan menyokong Warisan, kerajaan negeri tidak pernah berhenti menyalurkan pelbagai bantuan kepada DUN Sugut.

Tegasnya pemimpin seperti ini tidak layak memimpin kerana hanya mengejar kekayaan sendiri sedangkan rakyat yang selama ini berjuang tidak langsung dipedulikan.

Sebagai ketua Wira Warisan Beluran, Aslan akan membawa seluruh suara anak muda untuk bangkit menentang mana-mana pemimpin di Sabah yang tidak mempunyai pendirian dan keteguhan berpolitik.

* Kerajaan Sabah hari ini membenarkan panggung wayang serta perkhidmatan kecantikan dan kesihatan termasuk pusat refleksologi beroperasi semula, selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan PKPP secara berperingkat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata waktu operasi perniagaan hendaklah dijalankan seperti biasa tertakluk kepada prosedur operasi standard, SOP ditetapkan Kementerian Kesihatam, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak yang berwajib.

* Dianggarkan lebih 20  rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Haji Sundu, Batu 2, Jalan Apas, Tawau, 12.15 tengah hari tadi.

* Dalam memerangi pandemik Covid-19, jangan lupa ancaman denggi.

Sebanyak 50,511 kes dan 88 kematian akibat demam denggi dicatatkan di negara ini dari Januari  sehingga 13 Jun lalu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan sejak lapan minggu lalu, didapati berlaku tren peningkatan dengan purata peningkatan lapan peratus seminggu.

Berdasarkan tren itu, Kementerian Kesihatan menjangkakan peningkatan kes demam denggi dalam gelombang kedua bermula pada awal Jun sehingga September tahun ini.

Di Sabah, sebanyak 2,443 kes demam denggi  direkodkan setakat 13 Jun lalu dengan Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 633 kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, Sandakan mencatatkan 420 kes, diikuti Semporna 374, Tawau 297 dan Lahad Datu 256 kes.

Katanya bilangan kes itu akan terus meningkat jika tiada usaha untuk memastikan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes secara intensif.

* Mungkin tidak ramai wanita menceburi bidang kerjaya di loji terapung di tengah tengah samudera.

Namun bagi seorang anak jati Kudat,  Ellfira Fanira Rusileh, 26 tahun, dek kerana minat, peluang bekerja sebagai jurutera operasi di loji terapung pemprosesan gas asli cecair, PLNG yang pertama di dunia, tidak dilepaskan.

Loji PFLNG SATU milik PETRONAS itu beroperasi di medan gas Kebabangan, kira-kira 90km dari Kota Kinabalu.

* Seramai 51 pelajar Kelas Bimbingan Saudara Kita, KBSK di Nabawan menerima bantuan kewangan dan bahan dapur daripada Permodalan Nasional Berhad, bagi meringankan perbelanjaan isi rumah dalam tempoh PKPP.

* Operasi feri penumpang dan kenderaan, Labuan – Menumbok – Labuan telah disambung semula sepenuhnya sejak Isnin lalu, dengan pemantauan ketat terhadap prosedur operasi standard, SOP.

Tiga buah feri kendalian Labuan Mainland Link Sdn Bhd,  Putrajaya 1, Kimanis 1 dan Joy Star yang baru siap dibina, dibenarkan beroperasi seperti biasa berdasarkan lima perjalanan harian seperti sebelum ini.

Kuota yang diluluskan adalah dua perjalanan setiap hari untuk Putrajaya 1 dan Kimanis 1 dan satu perjalanan setiap hari untuk Joy Star.

Sementara itu, operasi feri ekspres Labuan – Kota Kinabalu – Labuan untuk dua pelayaran pagi dan petang setiap hari,  disambung hari ini.