Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 17 Januari 2021

Bersama Hikma Juni.

* Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi bantuan secara sekali bayar atau one-off, sebanyak RM300 kepada 324,661 orang penerima di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, bantuan berkenaan disalurkan melalui pelaksanaan Bantuan Prihatin Covid-19 2.0 dengan peruntukan berjumlah RM 97.4 juta.

Penerima bantuan RM300 ini terdiri daripada golongan tersenarai dalam e-Kasih, kumpulan B40, anak yatim, warga tua, Orang Kurang Upaya, OKU, ibu tunggal, petani, nelayan, pekebun kecil, penternak, pemandu pelancong, malim gunung, porters, penggiat seni, pemandu teksi, pemandu bas, pemandu lori dan penjaja.

Manakala, sejumlah RM31.58 juta diperuntukkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara, NADMA bagi perbelanjaan bakul makanan untuk penduduk Sabah yang diarahkan menjalani perintah kuarantin di rumah dan lokaliti yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan, PKPD.

* Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir akibat hujan lebat tanpa henti sejak petang semalam.

Berdasarkan kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, bilangan mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 348 orang dari 91 keluarga sehingga 4 petang tadi berbanding 176 orang dari 43 keluarga setakat 8 pagi tadi.

Mereka dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara PPS di tujuh daerah terjejas banjir.

* Kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif dengan menghantar bantuan bakul makanan kepada penduduk terjejas banjir dan terputus jalan perhubungan utama di Pitas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan memahami masalah serta kesukaran penduduk yang terlibat untuk keluar membeli barang keperluan.

* Hujan lebat sejak petang semalam di Pantai Barat Sabah mengakibatkan beberapa jalan utama mendap dan runtuh.

Antaranya, laluan utama Jalan Kota Kinabalu-Keningau-Tenom yang mengalami runtuhan di KM35.7.

Diifahamkan laluan itu telah ditutup 1 petang tadi demi keselamatan pengguna jalan raya.

Pengarah Jabatan Kerja Raya, JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kota Kinabalu-Kimanis-Keningau dan Jalan Tambunan-Ranau.

* Hujan lebat turut menyebabkan Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang ditenggelami air.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim memaklumkan, sebarang urusan di Balai Polis Penampang tergendala buat sementara sehingga dibuka kelak berikutan beberapa kelengkapan dan fasiliti dinaiki air.

* Buat hari kedua berturut-turut, kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun dengan 393 kes dilaporkan hari ini berbanding 449 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 43, 644 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata tiada kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini namun dua kluster baharu direkodkan.

Kluster itu ialah Kluster Jalan Mawila di Kota Kinabalu dengan 15 kes kumulatif setakat ini.

Satu lagi kluster ialah Kluster Taman Ikan Jinak di Tuaran dan Kota Belud dengan 21 kes kumulatif setakat ini.

* Kerajaan Sarawak memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB di seluruh negeri itu selama 14 hari bermula Isnin ini sehingga 31 Januari.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri itu sejak beberapa hari lalu.

Sebelum ini, Sarawak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, PKPP susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari lalu.

17th January 2021.