Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 17 Februari 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony membawa khabar gembira kepada 18,000 penduduk Taman Sri Rugading di Tuaran. Masalah air yang membebankan mereka sejak beberapa tahun lalu, bakal diselesaikan tidak lama lagi apabila kapasiti tangki penyimpanan air sedia ada yang hanya mampu menampung keperluan 10,000 penduduk, ditingkatkan kepada 60,000 gelen bagi kegunaan penduduk taman perumahan itu yang kini mencecah 18,000 orang.

*  Ahli Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Tatalaan 2, Nabawan hari ini tampil menafikan wujud kaitan pemecatan Raymond Ahuar sebagai Setiausaha Politik Timbalan Ketua Menteri dengan pembangunan yang sedang berjalan dengan baik di kampung berkenaan. Pengerusinya, Agnes Andrew Jack Bacon berkata, Raymond tidak pernah terlibat dengan perancangan pembangunan di Kampung Tatalaan 2, justeru alasan yang diberikan pemimpin PKR itu kononnya beliau dipecat berikutan lawatannya di kampung tersebut adalah tidak betul. Berikutan itu, Agnes berharap Raymond menghentikan tindakannya mengaitkan pemecatan tersebut dengan kampung berkenaan kerana dikhuatiri akan menjejaskan hasrat penduduk kampung itu untuk menerima geran tanah individu yang kini hampir terlaksana.

* Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru umat Islam supaya berpegang kepada ajaran Al-Quran dan tidak melakukan perbuatan yang bertentangan agar kejayaan dan kemajuan negara dapat dicapai. Perdana Menteri berkata, dalam Al-Quran terkandung intipati dan pengajaran yang menjadi khazanah bernilai untuk umat Islam mengecapi kejayaan. Beliau berkata, dalam bertekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, terdapat keraguan tentang hala tuju negara pada masa hadapan, justeru Al-Quran adalah panduan.

* Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal mahu rakyat Sabah terus memperkasa perpaduan bagi memastikan usaha membina sebuah negara maju dapat dijayakan.

Dalam mengukuhkan perpaduan, rakyat berbilang kaum di negeri ini perlu berusaha mencari titik persamaan serta mengecilkan perbezaan yang ada. Katanya, sekiranya perbezaan itu berjaya diurus dengan penuh toleransi maka, ia pasti mampu memperkukuhkan perpaduan sedia ada hingga menjadi kekuatan dan nadi kepada transformasi sebuah negeri dan negara.

* Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berlepas pulang ke ibu negara dari Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, 9 pagi tadi.

* Dua lelaki warga China ditahan manakala empat kapal dari negara itu yang di bawah jagaan mereka disita kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 0.35 batu nautika dari Jeti Asian Base, di Labuan, kira kira 11.30 pagi Sabtu lalu kata Pengarah  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar.