Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 16th July 2020

 

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Sebanyak 466 buah sekolah di seluruh Sabah berada dalam keadaan tidak selamat untuk digunakan mengikut analisis skor gred impak yang dijalankan Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, 52 buah sekolah berada pada skor maksimum tujuh, iaitu tidak selamat digunakan dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya.

Manakala 414 buah sekolah berada pada tahap skor enam iaitu tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan pejabat pendidikan daerah.

* Isu pembatalan jemputan pada saat akhir terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal untuk merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah 2020 baru-baru ini dibangkitkan di dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan dalam perbahasan berkata, pembatalan itu yang dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri, JPN seolah-olah satu penghinaan kepada rakyat Sabah dan perbuatan mempolitikkan sektor pendidikan Sabah.

Sehubungan itu, beliau menyoal adakah benar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pemimpin untuk semua rakyat Malaysia, sedangkan tindakan dilakukan sebaliknya hanya kerana JPN adalah agensi Persekutuan.

* Kerajaan Sabah membenarkan enam lagi operasi bermula semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, berkata ketetapan itu diambil sejajar keputusan yang dibuat di peringkat Persekutuan pada 10 Julai lalu.

Operasi yang dibenarkan itu ialah arked permainan; taman hiburan dalaman; hiburan pendidikan; gimnasium permainan kanak-kanak; hiburan permainan berasaskan peralatan mesin hiburan teknologi; dan pusat karaoke keluarga.

* Kementerian Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri sedang melihat keperluan untuk menggubal Undang-undang Kecil pengurusan sisa buangan di daerah Penampang, seiring dengan pelaksanaan Kempen 3R (mengurangkan, mengguna semula dan kitar semula) yang telah dilancarkan sebelum ini.

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang berkata, penggubalan undang-undang itu akan membolehkan usaha melaksana pengasingan sisa buangan dapat diurus dengan baik.

* KAWAN BAH adalah platform yang boleh memberikan sokongan emosi dan psikologi kepada belia yang berdepan masalah dalam kehidupan.

KAWAN BAH menyediakan talian careline untuk membolehkan belia meluahkan permasalahan mereka dengan menghubungi 012 775 3020 pada setiap masa, 24 jam sehari.

Ia dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe, siang tadi.

* Sejumlah wang di London dianggarkan bernilai RM1.452 bilion (USD340,258,246.87) yang dikaitkan dengan konspirasi penipuan melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipohon untuk dibekukan sementara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM kepada pihak berkuasa negara itu.

Perintah interim untuk melarang sebarang urusan bagi wang berkenaan telah diperoleh SPRM di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

* Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendapatkan suapan sebanyak RM16,000 dengan menggunakan jawatannya di Mahkamah Khas Rasuah, Tawau, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, Imrah Bakalanah, 54, melakukan kesalahan itu pada 2 November 2015 di Pejabat Unit Kewangan Hospital Semporna ketika bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kanan Kewangan di Hospital Semporna.

Dia dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan itu dengan meluluskan proses pembayaran pesanan kerajaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan kuarters kerajaan berjumlah RM19,800.00 kepada syarikat Sharizman Jaya Development pada 2 November 2015.

Bagaimanapun kerja penyelenggaraan itu dilaksanakan sendiri oleh tertuduh.

* Di mahkamah sama, sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk mendapatkan tender menyewa dan mengurus kantin sekolah.

Tertuduh, Barmah Wati Hassan, 38, dan Mohammad Endra Abd Sarakal, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Semua dokumen itu digunakan untuk tujuan menipu bagi mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin Sekolah Kebangsaan Gelam-Gelam Semporna untuk tempoh dua tahun mulai 1 Februari 2017 hingga 31 Januari 2019.

* Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah menyita pelbagai jenis barang kawalan bernilai RM10,000 di sebuah kedai runcit di Pekan Manggatal, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, sebanyak 1,692 kilogram gula; 1,156 kg minyak masak dan 1,249 kg tepung gandum dirampas, selepas pemilik premis disyaki memiliki barang kawalan melebihi had kuantiti bekalan yang dibenarkan.

* Di Sandakan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP menyita 125 helai jersi dan tiga seluar tiruan menggunakan jenama Adidas, Nike dan Puma bernilai RM13,917, susulan serbuan ke atas sebuah premis di pusat bandar, kira-kira 10 pagi, semalam.

Turut ditahan, seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun yang juga pemilik premis.

16th. July 2020