Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 16 September 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Sempena Sambutan Hari Malaysia, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal mahu rakyat pelbagai kaum di Sabah terus mengeratkan perpaduan kerana keharmonian kaum adalah tonggak kemakmuran dan kemajuan negeri ini.

* Datuk Seri Mohd Shafie yakin sokongan pengundi di kawasan majoriti Kadazan Dusun Murut, KDM terhadap Warisan Plus semakin baik.

Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan itu berkata, sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, keterbukaan dan kehadiran masyarakat KDM dalam majlis-majlis anjuran kerajaan Warisan dilihat semakin meningkat.

* Walau peruntukan beratus juta telah disalurkan Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan sawah padi, daerah Kota Belud yang terkenal dengan jolokan Jelapang Padi masih gagal mengeluarkan hasil yang mencukupi.

Itu antara kegagalan ketika pemerintahan Barisan Nasional.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal mahu melihat rakyat Kota Belud memperoleh manfaat daripada pembangunan sawah padi di daerah tersebut.

* Datuk Seri Mohd Shafie tidak gentar untuk berdepan dengan Datuk Seri Anifah Aman di mahkamah berhubung isu tanah Yayasan Sabah.

Ketua Menteri berkata maklumat dan bukti penyelewengan itu akan didedahkan.

* Datuk Seri Mohd Shafie lebih berminat untuk berjumpa pengundi dan fokus untuk menang pilihan raya berbanding berdebat.

Itu maklum balas Ketua Menteri berhubung cabaran yang disuarakan Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan itu dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berdebat mengenai siapa Ketua Menteri Sabah yang lebih baik.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata, beliau perlu turun padang bagi mendekati pengundi di peringkat akar umbi kerana Sabah adalah sebuah negeri yang besar.

* Jabatan Kesihatan Sabah menafikan mesej yang tular mengatakan kononnya pengikut Datuk Seri Mohd. Shafie dalam ceramah di Kota Belud petang ini dijangkiti Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr. Christina Rundi ketika dihubungi berkata, maklumat itu tidak betul.

* Sebanyak 200,000 risalah sedang diedarkan pembangkang Sabah bagi menabur fitnah dan memburuk-burukkan pemimpin Warisan Plus sebagai salah satu strategi mereka meraih undi dan menumbangkan kerajaan negeri.

Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah, Loretto Padua Jr berkata, kesemua risalah itu yang berbentuk serangan peribadi terhadap setiap calon Warisan Plus, diedarkan di seluruh negeri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Loretto menasihatkan setiap rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan yang disebarkan melalui risalah-risalah tersebut.

Katanya, perbuatan jijik itu menandakan pembangkang di Sabah telah meletakkan taraf mereka ke tahap terendah apabila melakukan serangan peribadi terhadap pemimpin dan calon Warisan Plus.

* Calon Warisan Plus bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN Pintasan, Mohd. Safian Saludin mahu menjadi jambatan penghubung kepada rakyat Pintasan untuk menyampaikan suara mereka kepada Ketua Menteri.

Anak jati Kota Belud itu berkata, PRN Sabah kali ini amat bermakna kerana penduduk Pintasan bakal mempunyai suara sendiri selepas ini di dalam DUN. Bagaimanapun katanya, amat penting untuk pengundi memberi sokongan kepada Warisan Plus yang akan menjadi kerajaan agar suara mereka lebih mudah didengar.

* Kesungguhan kerajaan Warisan Plus untuk membawa pembangunan di luar bandar memberikan semangat kepada masyarakat Telupid untuk memberi kemenangan kepada Calon Warisan Plus DUN Telupid, Felix Saang.

Laporannya bersama Jennifer Tugung Michael.

* Warisan Plus menurunkan 3 muka baharu di DUN Kawang, Pantai Manis dan Limbahau, Papar.

Setiap daripada mereka menggunakan pengalaman dan kepakaran dalam sektor awam dan swasta untuk melaksanakan misi dan visi untuk memperbaiki sosio ekonomi dan taraf hidup penduduk di kawasan masing-masing agar lebih baik berbanding sebelum ini.

* Replika Logo Parti Warisan Sabah di bulatan Jalan PPNS 1 dirosakkan individu tidak bertanggungjawab kira-kira pukul 1.15 pagi tadi.

Perbuatan tersebut disedari pengawal di bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, PPNS yang cuba mengejar suspek, namun gagal.

16 September 2020.