Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 16 October 2020

Bersama Hikma Juni.

* Lima kes kematian akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada lima kes kematian di Sabah itu, tiga kes dilaporkan di di Hospital Queen Elizabeth dan satu kes masing-masing di Hospital Semporna dan Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Kesemua pesakit yang berusia antara 39 hingga 74 tahun itu mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, penyakit buah pinggang dan strok.

Tambahan kes terbaru ini menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 176 kes, sementara kumulatif kes kematian di Sabah meningkat kepada 51 kes.

Daripada 627 kes positif baharu yang dilaporkan di seluruh negara hari ini, 489 kes adalah di Sabah.

Dr Noor Hisham berkata, peningkatan kes di Sabah ini susulan lebih banyak keputusan ujian makmal telah diperoleh.

Ranau kini zon merah akibat pertambahan 9 kes positif baharu Covid-19 di daerah itu hari ini, menjadikan bilangan keseluruhan kes di Ranau meningkat kepada 48 kes dengan 44 kes aktif.

* Kerajaan Sabah melanjutkan waktu operasi kedai makan, restoran, farmasi, kedai serbaneka dan stesen minyak sehingga 8 malam bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sebelum ini kesemua premis perniagaan itu hanya dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 6 petang sahaja.

Bagaimanapun, lanjutan waktu operasi ini tidak termasuk mini market, kedai runcit, pasar raya dan pasaraya
hyper yang kekal sehingga 6 petang seperti ditetapkan prosedur operasi standard Majlis Keselamatan Negara.

Mengenai agihan bakul makanan pula, Masidi berkata, sehingga hari ini, sebanyak 35,672 bakul makanan telah diagihkan. Proses agihan juga berjalan lancar.

Beliau turut menasihatkan penduduk Sabah untuk sentiasa peka dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa bagi sama-sama memutuskan rantaian Covid-19.

* Dalam dua bulan pertama tahun ini (Januari-Februari), industri pelancongan Sabah kerugian sekurang kurangnya RM320 juta akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia.

Sehubungan itu, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan melonjakkan semula industri pelancongan di Sabah selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB berakhir.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, kerajaan negeri bersedia untuk kerjasama dengan negara luar termasuk pelabur asing untuk tujuan itu.

Untuk itu, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha pelancongan sebaik sahaja PKPB ini berakhir.

Ini bagi memastikan industri pelancongan Sabah berada dalam keadaan siap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

* Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sekali lagi bertukar lengang susulan sekatan keluar masuk Sabah membabitkan pergerakan dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan bermula 12 Oktober hingga 25 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu seperti kecemasan, kematian atau perkhidmatan perlu.

Individu yang mahu keluar dari Sabah perlu mendapatkan kebenaran dari Polis Diraja Malaysia sebelum melakukan perjalanan.

Mereka juga perlu menjalani ujian saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

16 October 2020.