Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 16 November 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Dewan Undangan Negeri, DUN Sabah meluluskan Rang Undang-Undang, RUU Perbekalan Tambahan Kedua 2020 berjumlah RM709.64 juta bagi melicinkan operasi jentera pentadbiran kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

RUU berkenaan dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang juga Menteri Kewangan.

Hajiji ketika membentangkan RUU itu berkata, peruntukan dalam perbekalan tambahan itu penting bagi meringankan bebanan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sejumlah RM375.12 juta atau 53 peratus diperuntukkan untuk bantuan menangani pandemik Covid-19.

Daripada jumlah itu, RM160 juta diperuntukkan sebagai Pakej Bantuan Prihatin Covid-19 kepada rakyat yang terkesan dan terjejas teruk.

Manakala sejumlah RM114.26 juta pula adalah untuk imbuh balik kehilangan hasil kepada Pihak Berkuasa Tempatan, PBT dan Sabah Electricity Sdn Bhd, SESB.

* Peruntukan RM160 juta Pakej Bantuan Prihatin Covid-19, yang disediakan kerajaan negeri bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, memanfaatkan seramai 1.067 juta penerima dalam kalangan kumpulan sasar yang telah dikenal pasti.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, daripada jumlah itu, RM34.86 juta telah diperuntukkan bagi menyediakan bantuan bakul makanan kepada individu yang dikuarantin dan penduduk tersenarai dalam e-Kasih yang terjejas akibat pandemik Covid-19 setakat semalam.

Sementara, untuk sejumlah RM33.76 juta telah diperuntukkan kepada 113, 919 orang penerima daripada kumpulan sasar.

Ia termasuk bantuan kewangan secara sekali bayar (one off) bagi mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor serta golongan rentan di bawah B40, e-Kasih, anak yatim, OKU, ibu tunggal, pemandu teksi, pemandu bas, pemandu lori dan juga pelajar universiti di Sabah yang terkesan.

* Datuk Seri Hajiji berkata kerajaan belum berhasrat untuk membina hospital tambahan bagi menampung pesakit Covid-19 di Sabah.

Katanya, buat masa ini, 11 buah hospital kerajaan menjadi hospital rawatan Covid-19 untuk merawat kes Covid-19 tahap tiga hingga lima.

Manakala, bagi menangani kes Covid-19 tahap satu dan dua, sebanyak 35 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko rendah, PKRC telah dibuka.

Hospital Medan di Tawau juga telah beroperasi dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia.

* Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, GRS memberi jaminan akan memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah bekalan air dan elektrik di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau akan meminta Pengarah Jabatan Air Negeri untuk melakukan penelitian bagi memastikan jabatan itu tidak terus mengalami kerugian.

Bung berkata Sabah mengalami kerugian kutipan hasil bekalan air berjumlah RM300 juta setahun.

Masalah itu bukan sahaja menyebabkan jabatan atau syarikat pengendali mengalami kerugian, tetapi rakyat Sabah turut menerima kesannya.

* Kerajaan negeri disaran mengambil kaedah penyelesaian terbaik dalam menangani isu kemiskinan digital di Sabah.

ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Tun Said berkata, kemiskinan digital merupakan satu keadaan dimana, masyarakat berdepan kekurangan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi, ICT atau mempunyai kelemahan kemahiran ICT.

Salleh turut mencadangkan senarai e-Kasih dikemaskinikan segera bagi memastikan perkhidmatan sampai kepada semua yang layak.

* Pejabat Akhbar Ketua Menteri menafikan hantaran yang tular menerusi media sosial kononnya Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mendakwa kelewatan serahan bantuan bakul makanan COVID-19 di Sabah berpunca daripada ketidakcekapan penjawat awam.

Menurut kenyataan pejabat itu, hantaran tersebut yang ditularkan menerusi semua platform media sosial dan disertakan dengan gambar Hajiji merupakan berita palsu.

Menurut kenyataan itu, hantaran tersebut berniat jahat untuk memburukkan dan melemahkan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah yang baru dibentuk serta pemimpinnya.

* Penurunan kes baharu di Sabah untuk hari keempat berturut-turut, menunjukkan keberkesanan ti

ndakan pencegahan dan kawalan yang telah dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia.

288 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini iaitu dua di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan dua di Hospital Tawau, melibatkan pesakit berusia 46 hingga 73 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Jumlah kumulatif kes kematian di Sabah kini 175 kes.

Satu lagi kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu kluster Matambai yang mencatatkan 21 kes positif.

Susulan pengesanan 341 kes positif di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok, saringan bersasar Covid-19 akan dijalankan esok melibatkan 10 peratus penduduk di kawasan tersebut.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata saringan bersasar itu dijangka melonjakkan bilangan kes di Kota Kinabalu dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang.

PKPD di Pusat Tahanan Sementara Kota Kinabalu, Penjara Kepayan dan kuarters penjara Taman Mat Salleh Kampung Matambai, ditamatkan hari ini sepertimana yang dijadualkan.

16th November 2020.