Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 16 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Sidang akhbar yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri kerajaan untuk menyatakan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal di Kota Kinabalu semalam dihadkan kepada 20 orang sahaja bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB yang sedang berkuat kuasa.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, tidak timbul isu hanya jumlah yang hadir sahaja yang menyokong, manakala yang gagal hadir pula dianggap sebagai tidak menyokong Kerajaan Sabah seperti yang ditularkan pembangkang.

Tegas beliau, bagi mematuhi prosedur operasi standard, SOP yang ditetapkan, maka hanya jumlah tersebut yang hadir dan cukup kerana telah mempunyai wakil daripada semua parti komponen Pakatan Harapan Sabah, Parti Warisan Sabah dan UPKO.

Berdasarkan kehadiran ini sebenarnya jelas membuktikan bahawa keempat-empat parti yang menjadi komponen dalam pentadbiran negeri Sabah kekal kukuh dan utuh dalam  menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri, khususnya dalam perjuangan untuk mengembalikan semula hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, MA63. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

* 111 daripada 232 pelajar institusi pengajian tinggi dari Semenanjung yang tiba di Labuan semalam diarahkan menjalani kuarantin di dua pusat kuarantin di Institut Latihan Perindustrian Labuan dan Pusat Giat Mara. Mereka yang ditempatkan di pusat kuarantin kebanyakannya datang dari zon kuning dan merah COVID-19 di Semenanjung. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata kesemua pelajar itu telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian swab sepenuhnya oleh Jabatan Kesihatan sebaik tiba di Lapangan Terbang Labuan kira-kira 12.00 tengah hari semalam.

* Individu bukan warga Sabah yang ingin memasuki negeri ini  harus mendapat kebenaran daripada Jabatan Ketua Menteri terlebih dahulu. Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi memaklumkan perkara tersebut susulan terdapat banyak soalan mengenai prosedur untuk orang awam yang ingin memasuki ke negeri ini bagi tujuan perkhidmatan penting dan urusan rasmi sepanjang tempoh krisis  Covid-19. Individu bukan warga Sabah yang ingin memasuki Negeri Sabah bagi urusan rasmi diingatkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Ketua Menteri dengan mengisi Borang Kelulusan Khas (Masuk) secara dalam talian.

Dr Christina berkata, penyediaan dokumen yang berkaitan dan keputusan ujian COVID-19 akan melancarkan urusan kemasukan ke Negeri Sabah.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, dengan pergerakan skala besar orang awam yang akan balik ke Sabah dalam masa yang singkat, aktiviti kawalan dan pencegahan di pintu masuk sama ada di darat, udara dan laut telah dipertingkatkan.

* Seorang lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai cuba menyeludup enam tong gas LPG ke Indonesia, di perairan Batu Tiga, Tawau, semalam. Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, suspek, 33, ditahan Pasukan Polis Marin yang melancarkan Ops Benteng Covid, ketika menaiki sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan dipercayai menuju ke sempadan perairan negara.

* Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda ddi Batu 4, Jalan Utara, Sandakan, 9.20 malam tadi. Mangsa, Mohd Riduan Pindatun, 37, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.