Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 16 June 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* DAP Sabah akan terus memberi sokongan padu tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal.

Pengerusi DAP Sabah yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata Sabah mempunyai seorang Ketua Menteri yang terbaik yang memperjuangkan kepentingan untuk semua.

Justeru, sebarang cakap cakap mengenai pertukaran kerajaan, bukanlah satu isu.

Frankie berkata Kerajaan Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah masih kukuh meskipun dua ADUN UPKO, Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk James Ratib (Sugut) bertindak keluar parti semalam.

* Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata parti itu lebih besar daripada mana-mana pemimpin atau individu di dalam UPKO.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, perbezaan pendapat adalah sesuatu yang normal dalam mana-mana organisasi kepimpinan.

Namun katanya pemimpin kanan harus menjadi sebahagian daripada halatuju parti dan presiden parti adalah kapten.

Katanya tiada yang sempurna kerana kepimpinan adalah sesuatu yang dinamik dan adalah proses pembelajaran sepanjang masa.

Ewon berkata beliau akan terus kekal bersama UPKO kerana parti ini umpama rumah baginya.

Di sebalik semua kekurangan, beliau percaya sentiasa ada ruang untuk memperbaikinya dan beliau bersedia memainkan peranan yang lebih besar untuk membina semula UPKO bersama-sama dengan yang lain.

* Tiada kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kekal 359 kes.

Manakala 1 lagi kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di Sabah kini 346.

Daerah Tawau yang mencatat kes positif tertinggi di Sabah kini menjadi zon hijau apabila pesakit terakhir sembuh hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata satu kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Penampang semalam melibatkan wanita berumur 32 tahun yang mempunyai sejarah kontak dengan kes positif Covid-19 sebelum ini.

Kes terbaharu itu dikategorikan sebagai kes tempatan dan mangsa telah dimasukkan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

* Selepas ditutup hampir tiga bulan akibat pandemik Covid-19, suasana di hari pertama pengoperasian semula Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Kinarut semalam, agak sunyi dan lengang.

Tinjauan mendapati hanya terdapat kira kira 30 pengunjung bersama beberapa pekerja yang sibuk melakukan tugas masing-masing di taman hidupan liar yang menempatkan kira kira 230 ekor haiwan ini.

Pegawai Hidupan Liar Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Siti Nur Ain Ampuan Acheh, berkata taman hidupan liar berkenaan menetapkan beberapa prosedur operasi standard, SOP ke atas pengunjung.

* Seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah, UMS terpaksa menjadikan sebatang pokok sebagai kelas sementara ekoran masalah liputan jalur lebar yang terhad di kampungnya di Pitas.

Veveonah Mosibin, 18 tahun, pelajar jurusan Asasi Sains UMS dari Kampung Sapatalang, Pitas, sanggup tidur di atas pokok semata-mata untuk membolehkan dia menjalani peperiksaan secara dalam talian.

Kecekalan dan kegigihan serta pengalaman dilaluinya ketika bermalam di atas pokok, dimuat naik dalam video menerusi saluran YouTube miliknya dengan tajuk 24 Hours On Tree Challenge atau cabaran 24 jam atas pokok.

Video berdurasi 11 minit itu memaparkan Veveonah terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang kuat untuk menjawab kertas peperiksaan Kimia pada sebelah pagi dan Pengajian Malaysia pada sebelah petang, 9 Jun lalu.

*Seorang warga emas maut dipercayai dibunuh anak lelakinya di Kampung Ulu Teburi, Tungku, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian 8 pagi itu, mangsa, Talasai Kuyoh, 62, ditemukan tertiarap di kawasan lereng bukit kira-kira 50 meter dari kediamannya.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa dikatakan bergaduh dengan anaknya dengan menggunakan senjata tajam ketika mangsa sedang minum minuman keras.