Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 16 January 2020

Bersama Hikma Juni.

Laporan Pilihan Raya Kecil, PRK Parlimen P176 Kimanis.

* Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal buat pertama kali mendedahkan dokumen  Minit Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah pada 14 Mac 2016 yang dipengerusikan bekas presiden Parti Bersatu Sabah,  PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, ketika itu Timbalan Ketua Menteri Sabah di Jabatan Ketua Menteri, Wisma Innoprise, Kota Kinabalu. Presiden Parti Warisan Sabah itu mencabar Tan Sri Pairin menyamannya jika benar kenyataannya sebelum ini yang mendakwa Pairin telah mempengerusikan mesyuarat itu yang mencadangkan pelaksanaan Pas Residen Sabah, adalah satu pembohongan.

* Kebenaran tentang wujudnya Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah yang dipengerusikan Tan Sri Pairin itu terjawab. Bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun yang juga bekas Komander ESSCOM dan bekas Peguam Besar Sabah, Datuk Mary @ Mariati Robert mengesahkan perkara itu dan mereka juga hadir dalam mesyuarat itu.

* Di satu majlis di jalan Kimanis Keningau malam tadi, Ketua Menteri mengingatkan rakyat Kimanis agar jangan terperdaya dan diperalatkan bagi menghidupkan semula UMNO dan Barisan Nasional, BN di Sabah. Datuk Seri Mohd Shafie berkata sejarah politik Sabah membuktikan mana mana parti yang sudah tumbang tidak akan mampu kembali berkuasa, tidak kira walau sebesar mana  parti tersebut dari segi kekuatan, pengaruh dan kewangan. Ini berlaku kepada USNO, Berjaya dan PBS.

* Ini pula mengenai Himpunan Solidariti Rakyat bagi membantah Pas Sementara Sabah PSS di Pekan Lama Membakut kelmarin. Datuk Seri Mohd Shafie mengkritik pembangkang yang menjadikan kempen pilihan raya sebagai medan untuk melakukan bantahan.

* Kehadiran kira kira 300 orang dalam Himpunan Solidariti Rakyat membantah PSS  kelmarin, bukan penanda aras yang mencerminkan suara majoriti rakyat Sabah. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata kebanyakan yang hadir ke perhimpunan itu adalah orang luar dan bukan penduduk Kimanis. Maka adalah  tidak adil jika mahu mengatakan  majoriti rakyat Sabah menolak PSS.

* Datuk Mohd Azis yang juga Ketua Wira Parti Warisan Sabah turut menyelar  pembangkang yang sentiasa berdolak dalik dan berpendirian tidak konsisten mengenai PSS. Ia menyerlahkan sifat sebenar pembangkang yang hipokrit dan cuba memutar belit fakta sebenar.

* Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Junz Wong tidak melihat isu PSS memberi impak yang besar kepada komuniti Cina di Parlimen Kimanis.

* Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata dalam PRK Kimanis, tiada pilihan yang lebih baik selain memilih calon yang akan menjadi wakil rakyat kerajaan, iaitu Datuk Karim Bujang. Katanya berbanding pembangkang, wakil rakyat kerajaan lebih mudah membawa pembangunan di kawasan diwakili kerana diberikan peruntukan tahunan termasuk dari kementeriannya yang berjumlah RM1.1 juta tahun ini. Peruntukan itu  bagi melaksanakan projek kecil prasarana asas dan program Sentuhan Kasih. ADUN Bongawan dan ADUN Membakut di kawasan Parlimen Kimanis turut diberikan peruntukan berkenaan  kerana mereka adalah ADUN kerajaan.

Ahli Parlimen kerajaan juga diberikan sejumlah peruntukan pembangunan bagi kawasan yang diwakili.

* Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi mempertimbangkan cadangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah, ESSCOM, memansuhkan pelaksanaan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkara itu telahpun disuarakan kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sabah.

* 124 lagi pendatang asing tanpa izin, PATI warganegara Indonesia diusir hari ini. Ia pengusiran siri kelima tahun ini, membabitkan keseluruhan 823 PATI yang dihantar pulang ke negara asal,  bulan ini sahaja.