Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 16 Januari 2021

Bersama Hikma Juni.

* Bantuan bakul makanan bernilai RM200 bagi setiap Ketua Isi Rumah yang terjejas banjir dan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara PPS telah diagihkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, bantuan bakul makanan itu disalurkan menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.

Manakala, Agensi Pengurusan Bencana Negara, NADMA juga akan mengagihkan wang ihsan berjumlah RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah yang terjejas.

Agihan ini akan diselaraskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia APM dan Pejabat Daerah yang terlibat.

* Sementara itu, kerja-kerja pembaikan jalan dan jambatan runtuh di Sungai Paparoun Telaga, Pitas susulan banjir akan dibaiki menerusi peruntukan kecemasan Jabatan Kerja Raya JKR.

Pengarah JKR Sabah, Ir Ali Ahmad Hamid berkata, kerja kerja pembaikan akan dilaksanakan segera bagi memastikan jalan perhubungan penduduk kampung yang terjejas dapat disiapkan secepat mungkin.

* Selain Sabah, Sarawak turut dilanda banjir.

Angkatan Pertahanan Awam, APM Sarawak telah melaksanakan penghantaran bantuan makanan dan barangan keperluan asas ke kawasan pedalaman di negeri itu.

Pengarah APM Sarawak, Mohtar Samat berkata langkah awal itu diambil bagi menghadapi kemungkinan banjir di pedalaman terutama kawasan yang hanya boleh dihubungi melalui sungai.

* Malaysia mencatatkan kes positif Covid-19 harian tertinggi dengan 4,029 kes positif baharu dilaporkan hari ini..

Setelah mencatatkan 514 kes semalam, kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 449 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini 43, 251 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata , empat kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini iaitu tiga di Lahad Datu dan satu di Tuaran.

Tiada kluster baharu dilaporkan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dan isteri, Datin Seri Cecilia Kitingan telah sembuh dari jangkitan Covid-19 dan dibenarkan pulang dari Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, 1 petang tadi.

Beliau yang dimasukkan ke wad sejak 4 Januari lalu, melahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan khususnya Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr William Gotulis dan Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Dr Lee Heng Gee.

* Perintah Kawalan Pergerakan, PKP dilaksanakan di Sibu selama 14 hari mulai hari ini sehingga 29 Januari.

Tinjauan mendapati penduduk Sibu berpusu-pusu keluar untuk mendapatkan barangan keperluan harian sehingga ada pasar raya yang sesak.

* Dua pemilik gerai makanan dikenakan kompaun RM1,000 semalam atas kesalahan membenarkan pelanggan makan dan minum di gerai mereka.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abd Razak berkata, kedua-dua pemilik gerai itu masing-masing beroperasi di Pekan Membakut dan Kampung Tinambak, Kuala Penyu.

* Akibat cuaca buruk, dua kru bot tunda hilang apabila bot dinaiki dipukul ombak lalu terbalik dan karam di perairan Kuala Meruap, Sandakan, awal pagi semalam.

Insiden bot karam ini adalah kejadian kedua yang dilaporkan di perairan Sandakan minggu ini.

* Hanya memancing di pesisiran pantai, namun boleh mendapat ikan seberat 18 kg hingga 30 kg.

Itu keistimewaan pantai Tanjung Aru, Labuan yang menjadi tarikan kaki pancing di pulau bebas cukai itu.

16th January 2021.