Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 15th July 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Kerajaan Sabah menuntut hak yang sama daripada Petronas berhubung bayaran cukai jualan produk petroleum sebanyak lima peratus sebagaimana yang diterima Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, perkara itu sudahpun dibincangkan sebelum ini dan mahkamah juga telah memutuskan bahawa Sabah juga mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum.

* Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik Sabah, DAPSY menggesa Pakatan Harapan, PH Plus supaya bersatu dalam memutuskan pilihan calon Perdana Menteri bagi membolehkan mereka membentuk semula kerajaan dengan kadar segera.

Ketua DAPSY Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, keutamaan PH Plus ketika ini adalah untuk mengembalikan semula mandat yang rakyat berikan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 lalu

* Krisis bekalan air di Wilayah Persekutuan Labuan sejak minggu lalu dijangka berakhir Ahad ini.

Jurucakap Jabatan Bekalan Air Wilayah Persekutuan Labuan memaklumkan kerja-kerja
kimpalan di struktur yang mengalami kebocoran, telah siap dilakukan dan proses pengisian tangki air sedang dilakukan.

Pengguna dijangka mendapat bekalan air secara berperingkat bermula Jumaat ini dan bekalan dijangka pulih sepenuhnya pada 19 Julai.

Masalah bekalan air di Labuan berpunca kebocoran paip pam utama berdiameter 800 milimeter dari tangki penerima di Pulau Enoe ke loji rawatan air di Jalan Kolam.

* 40 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu disahkan negatif COVID-19
setelah selesai menjalani kuarantin selama tiga minggu di rumah, yang berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji, berkata sebelum ini, kesemua anggota polis berkenaan diarahkan menjalani kuarantin di rumah susulan seorang tahanan berkaitan kes dadah didapati positif COVID-19 semasa ujian kali pertama.

Namun tahanan berkenaan telah dibenarkan keluar dari hospital setelah dia disahkan negatif COVID-19 dalam ujian kedua.

* Proses pengusiran pendatang asing tanpa izin, PATI diteruskan.

94 warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui jalan laut dari Tawau hari ini.

Ia pengusiran siri ke-21 tahun ini.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan PATI yang diusir dari Sabah tahun ini, seramai 4,845 orang setakat Julai.

* Cubaan menyeludup 820 batang kayu nibong dianggarkan bernilai RM246,000 gagal selepas dikesan dan dirampas Maritim Malaysia di muara Sungai Inderasabah, Tawau semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, batang kayu nibong berkenaan ditemui dalam keadaan terapung di kawasan sungai terbabit ketika sepasukan anggota Maritim Malaysia melakukan rondaan dalam Op Pluto Timur 2/2013.

* Polis Kota Kinabalu menetapkan kehadiran dua pegawai perhubungan sekolah di setiap sekolah sekitar daerah ini bagi memastikan pelajar mematuhi prosedur operasi standard SOP yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata, sebanyak 19 sekolah menengah dan 34 sekolah rendah telah memulakan pembelajaran seperti biasa hari ini.

* Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Mohd. Haris Ibrahim berpuas hati dengan tahap persiapan pihak sekolah dalam menyambut semula kedatangan pelajar hari ini.

* Tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, SJKC Chung Hwa, Kota Belud mendapati penyesuaian dalam mengadaptasi norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard SOP di kalangan guru dan pelajar juga, berjalan lancar tanpa banyak masalah.

* Di Sekolah Kebangsaan Sri Gaya, Kota Kinabalu, warga sekolah melakukan inovasi agar pelajar tidak perlu bersesak ke kantin sekolah.

Sebaliknya, makanan untuk murid akan ditempah dan dibayar oleh ibu bapa sehari lebih awal secara atas talian dan dihantar ke kelas oleh pekerja kantin ketika waktu rehat.

15th. July 2020