Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 15 September 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal mengajak pengundi Sabah menghentikan kuasa politik wang pada Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah ke-16 ini.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata pilihan raya adalah platform untuk rakyat menentukan kerajaan dipilih dengan menggunakan hak mengundi dan menolak budaya politik wang.

Menurutnya, undi adalah hak rakyat dan undi tidak seharusnya dijual.

* Usaha mengeluarkan tanah perkampungan yang berada dalam kawasan syarikat berkaitan kerajaan, GLC akan terus dilaksanakan sekiranya Warisan Plus terus diberi mandat oleh rakyat Sabah dalam PRN.

Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, permohonan kampung berkenaan sudah agak lama dan ini sebahagian daripada proses yang sedang dilakukan kerajaan Warisan.

* Berada dalam senarai daerah paling miskin di Malaysia seharusnya membuka mata rakyat Pitas untuk berubah dengan menolak Barisan Nasional, BN yang ternyata gagal membawa pembangunan.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata, setelah sekian lama BN memerintah Sabah, Pitas masih lagi jauh ketinggalan.

* Jika tidak mahu berunding, hantar satu batalion pasukan keselamatan ke Sabah seperti dijanjikan.

Itu ulasan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mengatakan Presiden Parti Warisan Sabah itu seolah-olah mengiktiraf tuntutan dibuat oleh Filipina.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata, penghantaran satu batalion tambahan itu sebagai langkah mempertingkatkan sistem keselamatan di Sabah.

* Datuk Seri Mohd. Shafie mengesahkan calon Warisan di DUN Sekong, Alias Asni bukanlah pengganas dan semakan telah dibuat terlebih dahulu sebelum Alias diumumkan sebagai calon.

* Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata PRN Sabah amat penting untuk mengembalikan mandat kepada kerajaan yang adil dan berintegriti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15.

Sehubungan itu, rakyat Sabah perlu memastikan Warisan Plus bukan sahaja menang, tetapi mendapat majoriti dua pertiga, 26 September ini.

Memberi contoh Veveonah Mosibin, pelajar dari Pitas yang sanggup memanjat pokok bagi mendapatkan talian internet untuk menduduki peperiksaan, Kit Siang berkata, rakyat Sabah harus memiliki kesungguhan seperti pelajar itu untuk merealisasikan ‘Sabah baharu’.

* Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sokongan masyarakat KDM akan meningkat selepas kebenaran mengenai isu pendatang asing tanpa izin, PATI di Sabah didedahkan.

Penglibatan UMNO secara terancang pada 1991 didedahkan dalam pengakuan Jabar Khan Napi di sesi pendengaran awam di bawah jawatankuasa pendengaran khas parlimen di mana Jabar mendakwa hampir 400,000 pendatang asing telah diberikan kerakyatan.

Menurut Madius, dalam tempoh 11 hari ini, penerangan tentang isu ini akan dibuat.

* Taktik meletakkan banyak calon bertanding dalam satu kawasan bagi memecahkan undi tidak akan berjaya dalam PRN Sabah kali ini.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Junz Wong berkata, taktik itu mungkin berkesan pada zaman 80an dan 90an ketika akses internet masih belum ada, namun situasi sekarang tidak sama seperti dahulu.

* Peluang selama hampir 20 tahun telah diberikan kepada Parti Bersatu Sabah, PBS
untuk membawa perubahan di Sabah, namun parti itu terbukti gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat.

Calon Warisan Plus DUN Telupid, Felix Saang berkata, tempoh 20 tahun itu cukup lama untuk membawa pembangunan ke negeri ini termasuk Telupid, namun sehingga kini penduduk Telupid masih dibelenggu masalah keperluan asas seperti air bersih.

* Bertanding di N.72 Merotai buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum PRU Ke-14, dua tahun lalu,
Sarifuddin Hata berkata perancangan mewujudkan pekan baharu di Merotai sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk pelaksanaan.

Pekan baharu itu menggantikan pekan lama di Kampung Kijang agar Merotai bersedia menerima arus pembangunan terutamanya dengan pewujudan daerah baharu Kalabakan.

* Enam sekolah di tiga daerah ditutup akibat banjir susulan hujan lebat sejak semalam.

Sekolah terjejas ialah Sekolah Rendah Babagon Toki, Inanam, Sekolah Kebangsaan, SK Tampasak, SK Kaiduan, SK Pekan Kinarut dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, SJKC Kin Kiau Kinarut, Papar dan SK Pintas, Beaufort.

15 September 2020.