Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 15 October 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Wanita warga emas rakyat asing, berusia 100 tahun di Sandakan antara tiga kes kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan di Sabah, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Dr Hisham Abdullah berkata, kematian wanita itu dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Dua lagi kes kematian di Sabah dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu membabitkan wanita berusia 54 tahun; dan di Hospital Tawau melibatkan lelaki bukan warganegara berusia 68 tahun.

Kedua-dua pesakit ini mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Tambahan kes terbaru ini menjadikan kes kematian di Sabah meningkat kepada 46 kes.

Sabah mencatatkan 304 kes positif baharu hari ini dengan kes tertinggi dilaporkan di Kota Kinabalu sebanyak 58 kes.

Satu kluster baharu dikesan di Sabah iaitu kluster Olive.

Satu kluster baharu turut dilaporkan di Labuan hari ini iaitu kluster Saguking.

Sehingga kini hanya 3 daripada 26 daerah di Sabah berada dalam zon hijau tanpa sebarang kes aktif.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB di Wilayah Persekutuan Labuan bermula 17 Oktober sehingga 30 Oktober.

Dan susulan pelaksanaan PKPB di Labuan, Polis Kontinjen Sabah akan menggerakkan semua agensi dibawahnya bagi mengawal kawasan pantai dan perairan antara Wilayah Persekutuan Labuan dan Menumbok.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am akan mengawal perairan antara Sabah dan Labuan bagi memastikan tiada sebarang pergerakan orang awam keluar masuk antara Sabah dan Labuan.

Bagaimanapun, pergerakan feri masih dibenarkan beroperasi bagi membawa barangan perlu.

Untuk bot-bot kecil tanpa lesen yang beroperasi sepanjang PKPB, mereka boleh dikenakan tindakan dan dikompaun.

* Kerja kerja menyiapkan Hospital Medan Tawau sedang giat dijalankan Angkatan Tentera Malaysia di Dewan Kompleks Sukan Tawau yang terletak 10 minit dari Hospital Tawau.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pesakit-pesakit bukan Covid-19 akan ditempatkan di hospital medan khususnya bagi perkhidmatan Obstetrics & Gynaecology, pediatrik, ortopedik dan pembedahan am.

Ini bagi memberi banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes-kes yang memerlukan penjagaan rapi (kategori 3-5) termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan, khususnya Semporna.

* Polis Kontinjen Sabah telah menangkap 1,869 individu yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard, SOP sejak Perintah Kawalan Pergerakan, PKP dilaksanakan Mac lalu sehingga semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, setakat ini seramai 1,210 orang telah menjalani pertuduhan di mahkamah. Manakala, sebanyak 1,454 kompaun telah dikeluarkan sepanjang tempoh yang sama.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan dilakukan, tahap pematuhan SOP rakyat Sabah masih berada pada tahap yang tinggi.

Pada masa ini, Polis Kontinjen Sabah menggerakkan 248 pasukan pemantau dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam, Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi lain.

Pasukan itu dianggotai 1,800 petugas.

* Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, APMM menambah beberapa aset keselamatan bagi meningkatkan pemantauan di perairan Sabah dalam usaha membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin, PATI ke negeri ini.

Langkah tersebut diambil susulan peningkatan penularan pandemik Covid-19 di negeri ini yang dipercayai dibawa oleh warga asing.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan sempadan terutama perairan timur Sabah daripada dibolosi PATI dari Indonesia dan Filipina.

15 October 2020.