Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 15 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun

* Ketua Whip Kerajaan Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata khabar angin yang mengatakan kononnya Kerajaan Sabah akan tumbang tidak lama lagi disebabkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri berpaling tadah adalah palsu.

Hakikatnya wakil rakyat kerajaan di Sabah masih cukup waras dan mempunyai maruah diri untuk kekal dalam perjuangan bersama menuntut hak-hak Sabah di dalam Perjanjian Malaysia 1963, MA63, bukannya mudah berpaling tadah disebabkan kehendak politik semata-mata.

Sehubungan itu ‘pihak tertentu’ ditempelak kerana menyebar khabar angin kononnya pentadbiran negeri akan bertukar dengan mengaitkan senario politik di Semenanjung yang menyaksikan beberapa kerajaan negeri antaranya Melaka dan Kedah tumbang akibat tindakan wakil rakyat lompat parti.

Perkara itu tidak akan berlaku di Sabah kerana kesatuan yang utuh dalam kalangan pemimpinnya.

Datuk Seri Madius yang juga Presiden UPKO berkata, wakil rakyat kerajaan masih teguh menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal untuk meneruskan perjuangan menuntut hak-hak negeri ini yang terabai selama ini ketika di bawah pemerintahan lampau.

* Seramai 21 Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Kerajaan Sabah hari ini berkumpul menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri untuk terus memimpin Sabah dan menyangkal dakwaan kononnya pemerintahan negeri akan bertukar.

Sokongan yang dinyatakan itu juga adalah untuk meyakinkan rakyat negeri ini  bahawa Kerajaan Sabah masih kukuh dan tidak terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan palsu yang tular di media sosial ketika ini.

ADUN Merotai, Sarifuddin Hata berkata, pelbagai berita yang tular di media sosial hanya bertujuan memporak-perandakan kestabilan Kerajaan Sabah sedangkan sokongan kepada Ketua Menteri amat kukuh.

ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong berkata, ini bukan masanya untuk pemimpin terus memainkan isu politik kerana fokus utama Kerajaan Sabah adalah membangunkan semula negeri, justeru kerja-kerja yang sudah dimulakan sejak dua tahun lalu perlu diteruskan.

ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar berkata, khabar angin kononnya beberapa ADUN telah menyatakan persetujuan untuk lompat parti adalah palsu dan setiap wakil rakyat meneruskan komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat.

Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr berkata tindakan segelintir individu yang menyebarkan mesej palsu itu hanyalah satu cubaan untuk membawa sentimen kejatuhan kerajaan negeri di Semenanjung, sekaligus mahu mengurangkan sokongan rakyat di Sabah kepada Warisan.

* Seramai 348 individu termasuk 135 pelajar Institut Pengajian Tinggi, IPT yang baru pulang dari Semenanjung Malaysia, dikuarantin di Institut Pendidikan Guru, IPG Kampus Tawau, sejak semalam.

* Selepas dua bulan terkandas di Sabah susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP sejak 18 Mac lalu, seramai 134 warga Indonesia kini boleh menarik nafas lega selepas dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing melalui Terminal Feri Tawau, hari ini.

Mereka melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah atas kebenaran diberikan kerana kini mereka boleh pulang menyambut lebaran bersama keluarga yang telah lama terpisah.

Rakyat Indonesia terbabit menaiki dua buah feri iaitu MV Purnama Ekpress dan KM Franciss Ekpress ke Nunukan sebelum menyambung perjalanan ke wilayah masing-masing di Kalimantan Utara, Kalimantan Timur dan Sulawesi.

Ada yang terkandas di Sabah selepas menziarahi keluarga dan sanak saudara di negeri ini.

* Semua pengusaha pengangkutan awam seperti bas, teksi dan kereta sewa tidak dibenarkan menaikkan kadar tambang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB selagi tiada kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan.

Pengarah LPKP Sabah, Arfian Julian berkata memang ada cadangan daripada pengendali pengangkutan awam untuk menaikkan kadar tambang kerana hanya dibenarkan membawa 50 peratus sahaja bilangan penumpang dan perkara itu akan dimajukan kepada Kementerian Pengangkutan, minggu hadapan.

* Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Belia Sabah, MBS menyerahkan bahan untuk membuat 1,000 set peralatan perlindungan diri, PPE kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Phoong Jin Zhe berkata program itu adalah satu daripada aktiviti yang dilaksanakan oleh MBS melalui program Dapur Belia.

* Seorang pengedar dadah warga asing ditembak mati selepas menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang, di sebuah ladang kelapa sawit, di Lahad Datu, semalam.

Suspek yang maut dalam kejadian 9.30 malam itu dikenali sebagai Tas @ Tans, 30 tahun, yang turut dikehendaki kerana menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki di ladang yang sama, 5 Mei lalu.

* Seorang pemandu lori yang membawa muatan kelapa sawit maut apabila kenderaan dipandunya terbabas ke dalam paya berhampiran KL Kepong Mill 2, di Jalan Tawau – Semporna, petang semalam.

Mangsa, Ahmad Lawila M Lakan, 60 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

* Tindakan seorang lelaki menghina dan memburuk-burukkan Yang di-Pertua Negeri , Tun Juhar Mahiruddin melalui aplikasi WhatsApp membawa padah apabila dia dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini.

Majistret Afiq Agus menjatuhkan hukuman itu terhadap Jolay Bonar, 51 tahun, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 22 November tahun lalu.