Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 15 June 2020

Bersama Salbinous Saribun.

Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata alasan lompat parti untuk membela nasib rakyat yang digunakan oleh dua ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO, hanyalah retorik semata-mata.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran dan Inovasi berkata

sebaliknya tindakan ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury dan ADUN Sugut, Datuk James Ratib berpunca daripada kepentingan peribadi

dan bukan untuk rakyat.

Datuk Limus mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat, Perwira Progresif Sdn Bhd yang mendapat kontrak pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah berjumlah RM385 juta.

Manakala Datuk James Ratib adalah antara kontraktor yang mendapat manfaat daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Alasan digunakan kedua-dua wakil rakyat itu termasuk kononnya hilang kepercayaan kepada Presiden UPKO hanyalah satu retorik untuk meletakkan kesalahan di bahu orang lain dan melepaskan diri daripada kecaman pengikut dan pengundi.

Mereka juga memberi alasan mahu memperbaiki hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.

Sedangkan Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal sebelum ini telah menegaskan beliau sedia menjalin kerjasama antara kerajaan, G2G dengan PN pada bila-bila masa walaupun tidak sealiran dalam politik.

* Kerajaan Sabah masih kukuh dengan 2/3 majoriti di Dewan Undangan Negeri Sabah biarpun dua ADUN UPKO bertindak keluar parti hari ini kata Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Junz Wong.

Junz yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan dan ADUN Tanjung Aru berkata rakyat Sabah mahu kerajaan fokus kepada usaha membangunkan Sabah dan bukannya menjadi sebahagian daripada permainan kuasa di persekutuan.

* UPKO masih kukuh walaupun dua wakil rakyatnya keluar daripada parti itu hari ini.

Presiden UPKO merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata UPKO akan terus memainkan peranan yang penting sebagai rakan kongsi dalam kerajaan Sabah.

Beliau berkata, pucuk pimpinan parti menghormati keputusan mereka untuk meninggalkan UPKO seperti yang diumumkan.

Bagaimanapun, ketika ini, UPKO belum mendapat apa-apa pemberitahuan secara rasmi atau bertulis.

Apa yang jelas katanya, UPKO tidaklah terjejas sangat, setelah menghubungi pemimpin parti di lapangan.

Namun, satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UPKO akan diadakan dalam masa terdekat.

* Datuk Dr Jeffrey Kitingan dikecam kerana cuba menghasut kononnya politik di negeri ini tidak stabil dan menuduh Ketua Menteri menggunakan kaedah samseng untuk menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri kerajaan daripada menyertai Perikatan Nasional .

Bendahari Agung Parti Warisan Sabah, Terrence Siambun berkata, Ketua Menteri  bertindak betul dengan memberi amaran kepada mereka yang ingin menimbulkan ketidak stabilkan politik negeri kerana ianya boleh menyebabkan kesan serius kepada ekonomi di Sabah.

Menurut  Siambun, sebarang usaha untuk mewujudkan ketidakstabilan politik mesti dihalang dan dalangnya mesti diberi amaran kerana jika gagal, ia akan menjejaskan keyakinan para pelabur.

* Tindakan dua ADUN UPKO mengumumkan keluar parti untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Perikatan Nasional sekaligus menjawab teka teki ketiadaan kelibat mereka berdua di majlis perjumpaan Ketua Menteri bersama ADUN dan Ahli Parlimen kerajaan Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, Kota Kinabalu pada 11 Jun lalu.

Kerajaan Sabah masih memiliki majoriti kukuh dengan 45 kerusi daripada keseluruhan 65 kerusi, termasuk lima ADUN dilantik.

* Sementara itu,  bekas Presiden Pesatuan Undang Undang Sabah, Brendon Keith Soh memberi penjelasan mengenai proses undang-undang bagaimana seorang Ketua Menteri dilantik dan kedudukan DUN oleh Yang Di-Pertua Negeri dengan merujuk kepada Artikel 6 (3) dan Artikel 7 (1) Perlembagaan Negeri.

Melihat kepada artikel itu, jelas sekali bahawa Ketua Negeri Sabah mempunyai budi bicara untuk melantik Ketua Menteri yang biasanya mendapat kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri, berdasarkan kepada tafsiran dan praktik semasa kuasa perlembagaan ini.

Ketua Negeri boleh memutuskan siapa yang mempunyai kepercayaan majoriti dengan bukti luaran seperti deklarasi statutori dan atau wawancara dengan Ahli DUN berkenaan.

Belanjawan Negeri yang diluluskan akan mengukuhkan dan menunjukkan keyakinan seumpama itu dalam kerajaan negeri.

Proses perlembagaan yang digariskan diataslah yang harus dipatuhi sebagai penentu kerajaan mana yang layak memerintah.

* ADUN Bugaya, Manis Buka Mohd. Darah bukan sahaja menafikan tetapi turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang ingin menyebarkan maklumat palsu mengenai pendiriannya terhadap Parti Warisan Sabah.

Terdahulu, sekeping gambar yang menggunakan alamat laman sesawang borneotoday.net yang melaporkan kenyataan ADUN itu meninggalkan Warisan tular di media sosial.

Menurut beliau, segala perkara yang ditulis berkenaan berita yang tersebar tersebut adalah palsu dan fitnah semata-mata.

Borneo Today turut menegaskan gambar tersebut adalah palsu dan berita itu tidak pernah langsung dikeluarkan oleh portal ini.

* Semua rakyat Malaysia serta pemegang pas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia cawangan Sabah, sama ada dari Semenanjung Malaysia, Sarawak atau Labuan kini  tidak perlu menjalani ujian calitan Covid-19 untuk masuk ke negeri ini.

Ketua Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka hanya perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan dan mematuhi prosedur operasi standard, SOP Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, JKNS.

Ketua Menteri berkata,  pada masa sama, JKNS akan sentiasa memantau dan melakukan penilaian risiko kepada semua orang yang maşuk ke negeri Sabah.

* Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM mendakwa peguam, Michael Persius Ubu, 64, atas tiga pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan sebidang tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, RISDA di Tongod yang bernilai RM19,505,400.