Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 14th July 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal menegaskan di Dewan Rakyat bahawa dokumen IMM13 tidak sepatutnya diberikan kepada pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci kerana pemegang kedua-dua dokumen tersebut adalah pendatang asing tanpa izin, PATI.

Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu menyelesaikan isu warga asing di Sabah, namun langkah yang diambil perlulah memastikan masalah itu berakhir, bukannya cuba menghalalkan sesuatu yang tidak halal.

Jelas beliau, pemegang IMM13 mendapat pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pelarian perang berbanding Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dipegang oleh PATI dan jumlahnya mencecah ratusan ribu di Sabah.

* Keputusan undi belah bahagian dengan majoriti hanya dua undi yang diperoleh Perikatan Nasional ketika memecat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md. Yusof semalam adalah gambaran jelas bahawa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin terlalu lemah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata, 111 undi yang diperoleh Perdana Menteri terlalu rendah dan bukannya majoriti mudah, sebaliknya membuktikan kedudukan kerusi ketika ini tergantung.

Sehubungan itu, Datuk Seri Mohd. Shafie menjangka bahawa kemungkinan besar pilihan raya mengejut akan diadakan tidak lama lagi dan jika itu berlaku, pembangkang telah bersedia sepenuhnya.

* Krisis bekalan air  sejak minggu lalu di Labuan boleh dikategorikan berada pada tahap kecemasan.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli meminta  Kementerian Wilayah Persekutuan agar bertindak segera dan menyalurkan peruntukan kecemasan bagi menangani masalah itu dengan lebih berkesan.

Katanya krisis air d Labuan amat serius dan ia bukan saja menyebabkan kesukaran mendapat bekalan air untuk mandi dan membersihkan diri.

Namun sudah sampai ke tahap membahayakan kesihatan, khususnya ketika negara masih memerangi penularan wabak COVID-19.

* Umat Islam di perkampungan nelayan Kuala Gum-Gum, Sandakan, mampu menikmati kemudahan lebih selesa apabila sebuah masjid bakal dibina di kampung itu dengan kos RM500,000 menerusi peruntukan disalurkan Ketua Menteri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Gum-Gum, Arunarsin Taib, berkata masjid berkenaan menggantikan surau sedia ada yang kini uzur dan tidak lagi mampu menampung pertambahan jumlah penduduk.

Kemudahan itu dijangka memanfaatkan kira-kira 600 penduduk di kampung terbabit.

* Terima kasih Datuk Seri Madius kerana menyediakan perkhidmatan bas percuma.

Perasaan gembira itu dizahirkan masyarakat Kiulu yang teruja dengan pengenalan perkhidmatan bas ulang alik secara percuma kepada penduduk di sekitar daerah itu dan Tamparuli, pada setiap Selasa dan Rabu.

Masyarakat Kiulu bersyukur kerana perkhidmatan itu amat membantu mereka khususnya golongan peniaga di pasar tamu dan pelajar SMK Tun Fuad Stephens.

Laporannya bersama Jennifer Tugung Michael.

14th. July 2020