Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 14th August 2020

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Simon Sipaun menegaskan kerajaan sementara atau Ketua Menteri boleh menyerahkan geran tanah yang telah disediakan kepada rakyat.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan, IDS Sabah itu berkata, kerajaan sementara masih menjalankan fungsi sebagai sebuah kerajaan seperti biasa kecuali mengeluarkan polisi atau undang-undang baharu.

Simon menjelaskan sesebuah negeri tidak boleh berfungsi tanpa kerajaan, maka kerajaan sementara dan pentadbiran perlu diteruskan.

Katanya penyerahan geran tanah bukan soal polisi tetapi pentadbiran dan proses mengukur tanah telah pun dilakukan, katanya dalam satu kenyataan.

* Pembahagian kerusi yang akan ditandingi oleh Pakatan Harapan PH pada Pilihan Raya Negeri PRN Sabah dijangka dimuktamadkan, minggu hadapan kata pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Sebelum ini sebanyak dua mesyuarat diadakan antara parti dalam PH iaitu PKR, DAP dan AMANAH, bagi membincangkan PRN.

Mengenai cadangan AMANAH agar semua calon menggunakan logo Warisan pada PRN kelak, Christina berkata perkara ini masih dalam perbincangan dan belum dimuktamadkan.

* Pembinaan Pusat Pengumpulan Buah dan Kilang Pemprosesan Hiliran di Beaufort,
adalah satu lagi usaha kerajaan Warisan untuk membantu meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan kepada penduduk daerah itu serta kawasan sekitarnya.

Pusat pengumpulan buah dan kilang itu akan dibina di kawasan seluas 355 hektar dengan dikendalikan Korporasi Pembangunan Desa, KPD, yang menjalin kerjasama strategik dengan Green Drone Advance Farming Sdn Bhd.

* Hari Peringatan Sandakan Ke-75 yang disambut esok bagi mengenang jasa 2,400 tahanan perang Australia dan British yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua, terus mengeratkan lagi hubungan Australia dan Sabah.

Sempena upacara memperingati peristiwa itu di Sandakan esok, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski, mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, di Kota Kinabalu, pagi tadi.

* Ada udang di sebalik batu.

Itu yang dilakukan seorang pengusaha kolam udang yang berselindung di sebalik perniagaannya untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian di sebuah kondominium mewah dengan purata keuntungan bulanan, RM150,000.

Hasil risikan dan pemantauan selama hampir dua minggu, polis berjaya mengesan dan menyerbu pusat operasi sindiket terbabit dan menahan lima individu termasuk pasangan suami isteri.

* Seorang lelaki berusia 48 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti pemerdagangan organ manusia direman 7 hari sehingga 20 Ogos depan oleh Mahkamah Majistret Kuching.

* Sub-Komander Abu Sayyaf, Idang Susukan yang bertanggungjawab memenggal kepala rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen pada November 2015 selepas diculik dari sebuah restoran makanan laut di Sandakan, berjaya ditahan polis di Davao City, Filipina, semalam.

Idang Susukan atau nama sebenarnya Abduljihad Susukan ditahan di rumah pemimpin Barisan Pembebasan Nasional Moro, MNLF, Nur Misuari pada pukul 8.30 malam. Suspek juga dipercayai menjadi dalang kepada penculikan Bernard Then pada Mei 2015 sehingga membawa kepada kematiannya, kira-kira enam bulan kemudian.

* Lima pelajar termasuk seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di
Ranau ditahan polis selepas klip video pergaduhan itu, tular di laman sosial.

Semua pelajar berusia 16 tahun itu ditahan selepas satu laporan polis dibuat oleh seorang pengadu yang juga pelajar lelaki pada pukul 10.40 malam tadi.

Kejadian itu dikatakan berpunca tindakan mengejek antara satu sama lain.

14th. August 2020.