Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 14 September 2020

Bersama Hikma Juni.

* Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal mendedahkan dua kontrak tanah milik Yayasan Sabah yang diberikan selama 100 tahun kepada ahli keluarga Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Anifah Aman pada tahun 2015 dan 2018.

Tanah tersebut yang berkeluasan 11,000 hektar dan 50,000 hektar terletak di Hutan Simpan Kalabakan yang diberikan kepada Jawala Plantation Sdn. Bhd. dan Rentak Hasil Sdn. Bhd.

Kedua-dua perjanjian itu yang berakhir pada tahun 2115 dan 2118 didedahkan Ketua Menteri ketika berucap dalam Majlis Bersama Rakyat di Kunak pagi tadi.

* Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR diminta tidak melonggarkan peraturan sedia ada termasuk syarat kelayakan parti bertanding yang wajib berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, ROS.

Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan berhubung ketiadaan rekod pendaftaran Perikatan Nasional, PN yang melayakkannya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah Ke-16.

Terdahulu, Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa tiada rekod berkaitan PN dipaparkan menerusi semakan di laman sesawang ROS.

* Parti Keadilan Rakyat, PKR mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menunjukkan bukti kelulusan pendaftaran Perikatan Nasional, PN yang dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia kepada umum.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata seandainya PN belum didaftarkan secara rasmi, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR perlu mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon yang bertanding di bawah tiket PN.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata pilihan raya adalah platform penting buat rakyat untuk menggunakan hak mereka sebagai warganegara untuk memilih calon dari parti yang sah di sisi undang-undang untuk menjadi wakil rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan negeri.

Sekiranya calon yang mewakili sebuah pertubuhan haram dibenarkan untuk bertanding, ini adalah satu penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga buat rakyat khususnya warga Sabah.

* Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata isu keselamatan di daerah masing-masing termasuk membabitkan pandemik Covid-19 adalah di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan, PBT dan Pegawai Daerah.

Setiap pelaksanaan langkah kawalan berkaitan dilakukan pihak terbabit berdasarkan perkembangan semasa di daerah berkenaan.

* Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah 26 September ini adalah untuk memilih parti yang betul-betul ikhlas mempertahankan hak-hak Sabah.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata rakyat Sabah mahukan parti tempatan yang ikhlas berjuang mengembalikan hak Sabah, bukannya parti yang mencalonkan diri mereka untuk membuka pintu belakang agar UMNO masuk ke Sabah sekali lagi.

Malanjum berkata, undi kepada Warisan Plus penting untuk mengembalikan kekayaan Sabah termasuk hak minyak dan memberikan geran Anak Negeri kepada Orang Asal yang telah lama tertangguh.

* DUN Api-Api menyaksikan pertembungan sembilan penjuru termasuk tiga daripadanya adalah calon Bebas.

Samada ia satu kelebihan atau tidak, Calon Warisan Plus DUN Api-Api, Datuk Christina Liew, yakin 19,149 pengundi di kawasannya akan membuat pilihan yang tepat
dalam PRN Sabah kali ini.

* Di N15 Kiulu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berdepan penyandang kerusi DUN itu, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah, PBS dalam saingan 6 penjuru.

Menurut Madius, keputusan beliau bertanding di DUN Kiulu adalah bagi meneruskan kesinambungan program kerajaan negeri untuk rakyat.

Trek rekod beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan menteri penuh di peringkat Persekutuan memberinya kelebihan untuk dipilih menjadi wakil rakyat Kiulu.

* Masyarakat Kadazan Dusun Murut, KDM perlu membuat keputusan bijak sama ada memilih parti tempatan kroni Musa Aman, parti ‘katakrasi’ ataupun Parti Warisan Sabah yang memperjuangkan hak negeri ini.

Calon Warisan Plus DUN Kapayan, Jannie Lasimbang berkata, kerajaan baharu ini telah berjaya menyingkirkan kerajaan kleptokrasi, justeru masyarakat KDM harus bergerak ke hadapan demi memastikan masa depan Sabah lebih cerah.

* Baru berusia 28 tahun, calon Warisan Plus di DUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin tidak
menumpang populariti ayahnya, Datuk Jimmy Wong sebagai penyandang kerusi DUN itu, sebaliknya anak muda itu mahu meneruskan usaha pembangunan yang dirancang Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal.

Justin yang berdepan saingan 8 penjuru, optimis untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat bagi memastikan Tawau terus berkembang pesat khususnya dalam bidang pelancongan yang membantu ekonomi penduduk setempat.

14 September 2020.