Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 14 October 2020

Bersama Hikma Juni.

* 4 kes kematian dan 429 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini.

Ini hari kedua berturut-turut Sabah mencatatkan empat kes kematian akibat virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes kematian ini melibatkan dua kes di Hospital Duchess of Kent, Sandakan; satu kes masing-masing di Hospital Lahad Datu dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Kesemua pesakit berusia antara 47 tahun hingga 80 tahun dan melibatkan seorang lelaki dan tiga wanita yang mempunyai latar belakang penyakit kronik iaitu darah tinggi dan gout.

Sementara itu, tambahan empat kluster baharu yang dilaporkan semalam menjadikan bilangan kluster di Sabah sehingga kini meningkat kepada 26 kluster.

Secara keseluruhan, kluster Benteng LD mencatatkan kes tertinggi dengan 1,067 kes diikuti kluster Bangau-Bangau, Semporna dengan 430 kes.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata seramai 12 pegawai dan 60 anggota sokongan perubatan di bawah Kor Kesihatan Diraja akan berlepas ke Sabah, Sabtu ini untuk ditugaskan di Hospital Medan di Tawau selama tiga bulan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata sehingga kini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah adalah 5,493 kes.

3,242 pesakit sedang menerima rawatan dan 2,208 pesakit dilaporkan telah sembuh.

Pengagihan bakul makanan kepada golongan sasar berjalan lancar dan sehingga hari ini, 19, 587 bakul makanan telah diagihkan.

Sementara itu, semua kos utiliti di kesemua 16 bangunan yang dijadikan wad hospital tambahan akan ditanggung oleh kerajaan negeri Sabah.

Semua kegiatan berkaitan sektor ekonomi, industri dan perniagaan adalah dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB dengan mematuhi prosedur operasi standard, SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.

* Bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mahu membantu rakyat Sabah yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Katanya peningkatan kes setiap hari dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB di Sabah menyebabkan keperluan terhadap bantuan bekalan makanan dan kesihatan meningkat.

Dengan itu, Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan dengan sekumpulan anak muda dikenali Semporna Heroes mengambil langkah mengutip sumbangan dana orang awam bagi membantu kawasan yang benar-benar terkesan.

* Sebanyak 24 kompaun telah dikeluarkan ke atas pesalah termasuk 2 wanita yang melanggar prosedur operasi standard, SOP sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB di Penampang mulai 7 Oktober lalu.

* Hujan lebat sehingga awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan termasuk di sekitar pusat bandaraya mengalami banjir kilat.

14 October 2020.