Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 14 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata, persidangan Dewan Rakyat seharusnya dijalankan lebih daripada sehari bagi membolehkan wakil rakyat membahaskan usul dan bukan sekadar mendengar Titah Diraja.

Beliau berkata, biarpun Titah Diraja itu penting namun dalam masa yang sama Ahli Parlimen perlu mengemukakan persoalan berdasarkan isu dibangkitkan rakyat di kawasan masing-masing.

Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata ketika negara berdepan Covid-19, adalah penting untuk memaklumkan kepada rakyat mengenai keadaan semasa pandemik itu serta hala tuju negara memerangi ancaman virus itu.

Sehubungan itu Datuk Seri Mohd Shafie berkata adalah tidak berbaloi kepada wakil rakyat yang datang dari jauh untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hanya sehari.

Beliau yang mengesahkan akan menghadiri sidang parlimen Isnin ini berkata jika sidang Dewan Undangan Negeri Sabah boleh dilangsungkan mengikut prosedur operasi standard, SOP ditetapkan, persidangan Dewan Rakyat juga boleh berbuat demikian.

* Mengulas perkara sama, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menjadikan Covid-19 sebagai alasan bagi Dewan Rakyat untuk bersidang hanya satu hari, Isnin depan.

Katanya perkembangan terkini itu menunjukkan demokrasi sudah semakin mati di Malaysia.

Datuk Mohd. Azis secara sinis berkata, adalah lebih baik Dewan Rakyat hanya menggunakan sidang video melalui aplikasi Zoom sahaja untuk mendengar Titah Diraja tanpa perlu wakil rakyat khususnya dari Sabah bersusah payah  hadir ke bangunan Parlimen.

Katanya, kesemua Ahli Parlimen yang hadir turut diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 pada 14 dan 15 Mei sebelum dibenarkan menghadiri persidangan namun tidak ada gunanya juga jika tiada perbahasan yang berlangsung.

Tegasnya Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mengambil peluang untuk membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat melalui persidangan Parlimen pada kali ini, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya

* Sementara itu, Ketua Menteri berkata, biarpun pergerakan rentas daerah di Sabah telah dibenarkan, namun kawalan keselamatan masih diteruskan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini terus terjaga.

Selain menjaga sempadan daerah, kerajaan negeri juga akan terus memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan agar tidak dibolosi oleh anasir-anasir luar.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata, biarpun kebenaran diberi untuk ziarah-menziarahi semasa Aidilfitri kelak, namun ia harus dikawal dengan baik dan rakyat juga perlu prihatin dengan menjaga keselamatan dan kesihatan mereka agar tidak berlaku jangkitan Covid-19.

* Ketua Menteri berkata Kerajaan Sabah akan mengambil pendekatan komprehensif untuk terus membantu pengusaha pengangkutan awam yang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, PKP tahap enam .

Beliau berkata pengangkutan darat, laut dan udara diwajibkan mematuhi SOP ditetapkan dengan menghadkan kapasiti tempat duduk kepada 50 peratus sahaja dan ada pengusaha yang mengadu peraturan itu menyebabkan mereka tidak dapat menampung kos operasi.

Datuk Seri Mohd Shafie berkata, beliau juga telah meminta syarikat penerbangan supaya menambah kekerapan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Tawau, Sandakan dan Lahad Datu sepanjang PKP tahap enam.

* Semua perkhidmatan awam negeri Sabah dibenar beroperasi seperti biasa selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Tahap 6, berkuat kuasa hari ini sehingga 9 Jun depan.

Namun semua perkhidmatan  awam kerajaan negeri perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard, SOP Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dari semasa ke semasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata keputusan itu dibuat untuk memastikan perkhidmatan kerajaan negeri berada di tahap yang cekap dan berkesan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Safar berkata kehadiran kakitangan di organisasi masing-masing hendaklah sekurang-kurangnya 60 peratus di pejabat dan 40 peratus bekerja dari rumah.

Penjadualan kerja hendaklah mengambil kira kebajikan, keselamatan dan penggiliran kakitangan. Beliau juga berkata penggunaan aplikasi dalam talian adalah digalakkan dan diperluaskan untuk meminimumkan kehadiran pelanggan di kaunter dan pejabat kerajaan.

* Berkuatkuasa semalam, semua individu termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, IPT yang balik ke Sabah diwajibkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan.

Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Christina Rundi berkata, arahan kuarantin itu susulan wujudnya kluster IPT di negeri ini.

* Apa yang pasti, lebaran tahun ini tidak sama dengan tahun sebelumnya kerana orang ramai perlu berkorban demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Biarpun tidak dapat pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri bersama keluarga, namun, tindakan itu perlu demi memastikan orang tua di kampung tidak terdedah dengan risiko jangkitan virus itu.

Bagi kebanyakan warga kota yang kami temui, persediaan Aidilfitri kali ini dilakukan secara sederhana dengan keutamaan kepada pakaian anak-anak.

* Sebanyak RM170,000 diperuntukkan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah bekalan air di Kampung Penimbawan, Tuaran.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, tangki paip graviti yang ada di kampung itu sangat kritikal dan tidak mampu menampung keperluan penduduk.

* Dua anggota polis berpangkat Koperal dari Ibu pejabat Polis Daerah Keningau direman lima hari bagi membantu siasatan dakwaan menerima rasuah sebanyak RM3,000 supaya tidak mengambil tindakan selepas penemuan peralatan menghisap syabu di dalam rumah seorang individu yang juga pengadu dalam kes ini.

Perintah reman bermula hari ini dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Keningau, Marlina Ibrahim.

Kedua-dua suspek berusia 37 dan 44 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.