Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 14 Januari 2021

Bersama Salbinous Saribun.

* Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya, JKR akan mengambil tindakan pembaikan segera jalan dan jambatan yang runtuh akibat hujan lebat dan banjir di beberapa daerah di Sabah sejak beberapa hari lalu kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Katanya, banjir menyebabkan banyak jalan runtuh termasuk jambatan di Pitas.

* Kerajaan negeri memberi jaminan masalah jalan yang terputus akibat banjir dan tanah runtuh di Pitas, Kota Marudu dan Kudat akan diberi perhatian segera.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda berkata, masalah tanah runtuh yang berlaku di jalan utama Pitas telah diteliti dan usaha segera akan dilakukan bagi memastikan penduduk Pitas tidak terputus jaringan perhubungan.

* Ketua Armada BERSATU negeri Sabah, Fairuz Renddan menyeru semua rakyat Sabah untuk terus mengikuti perkembangan semasa dan tidak panik dengan pengisytiharan darurat.

Beliau berkata, pengisytiharan darurat itu adalah bertujuan untuk membantu pihak kesihatan dan kerajaan membendung penularan Covid-19.

* Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi hari ini dengan 3,337 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan.

Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun dengan 389 kes dilaporkan hari ini berbanding 450 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 42, 288 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata 8 kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini.

Lapan kematian itu masing-masing tiga kes di Lahad Datu, dua di Penampang, satu di Kota Kinabalu, Papar dan Tuaran.

Tiada kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini.

* Seramai 99 mangsa dari 17 keluarga di Kampung Tanjung Aru Tengah, Kota Kinabalu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara PPS berikutan fenomena air pasang besar yang melanda kampung di pesisir pantai itu, semalam.

Di Kudat, seramai 41 mangsa daripada lapan keluarga turut dipindahkan akibat fenomena itu.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam, APM Sabah, mereka yang merupakan penduduk kampung Sri Aman dan Tanjung Kapor ditempatkan di PPS Dewan Arena Belia dan Sukan Kudat yang dibuka pada 11 malam tadi.

* Akibat cuaca buruk, tiga kru termasuk kapten kapal dilaporkan hilang apabila bot tunda Ever Winner dipercayai karam di perairan Kuala Kinabatangan Besar, semalam.

Ketika kejadian, bot tunda terbabit sedang menunda sebuah tongkang, Ever Eternity tanpa muatan bersama seorang lagi kru.

* Jumlah mangsa banjir di Sarawak terus meningkat dengan seramai 1,826 mangsa daripada 507 keluarga ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara, PPS sehingga jam 12 tengah tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, JPBN Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, 23 PPS dibuka di Kuching yang menempatkan 1,250 mangsa daripada 337 keluarga.

Enam PPS dibuka di Bahagian Serian yang menempatkan 452 mangsa daripada 133 keluarga.

* Seorang lelaki berusia 50an rentung dalam kebakaran di Kampung Melikai, Menumbok, kira-kira 6 pagi tadi.

Mangsa, Mohd Ikmal Abdullah ditemukan rentung di bahagian dapur rumahnya selepas pasukan bomba memadamkan kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya rumah mangsa.

14th January 2021.