Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 14 Februari 2020

22

Bersama Beverly Anastacia Lim.

* Khabar duka dari Sandakan.

Selepas 36 jam, jenazah anggota Pasukan Gerakan Am, Allahyarham Koperal Asman Ongkal, 40 tahun, yang hilang selepas menyelamatkan  penumpang bot karam berhampiran jeti Pasar Umum Sandakan, awal pagi kelmarin, ditemukan 6.22 petang tadi, kira kira 1 kilometer dari lokasi kejadian. Arwah ditemukan nelayan yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat sebelum memaklumkan pihak berkuasa. Kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Arifin Asgali.

* Mengambil iktibar dari tragedi itu,  Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata kajian semula perlu dibuat untuk menetapkan prosedur operasi tetap, S-O-P yang baharu untuk dipatuhi semua feri, kapal dan bot yang beroperasi di perairan Sandakan.

* Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, sedang mengenal pasti pendekatan terbaik dalam membantu penggiat industri pelancongan yang terjejas berikutan penularan wabak novel koronavirus, (Covid-19). Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kerajaan akan memberi bantuan kepada penggiat industri dalam masa terdekat termasuk memperkenalkan pakej ransangan pelancongan serta mengadakan sesi townhall di empat buah negeri termasuk Sabah.

* Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik, PATA, Dr Mario Hardy menyarankan setiap negara di Asia agar mempelbagaikan sumber pemasaran dan tidak bergantung kepada satu pasaran sahaja. Kebergantungan kebanyakan negara di Asia terhadap pasaran China mengakibatkan mereka menerima impak yang besar apabila berlaku penularan wabak di negara tembok besar itu.

* Di Semporna, Timbalan Ketua Menteri yang juga ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong berkata kedatangan pelancong ke daerah itu menurun lebih 50 peratus selepas Kerajaan Sabah memutuskan untuk membatalkan sementara penerbangan dari China ke Sabah, bulan lalu.

* Masih di Semporna. Padah menjual penutup hidung dan mulut melebihi harga kawalan, pemilik sebuah premis dikenakan kompaun RM10,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP Semporna yang melaksanakan operasi pemeriksaan susulan aduan orang awam mengenai peniaga yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan menaikkan harga produk itu sesuka hati. Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Semporna, Arsanti Abd Rasid berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

* Hubungan erat sedia terjalin antara pihak keselamatan Malaysia dan Indonesia, bukan sahaja dalam bentuk kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan, malah turut merangkumi aspek kemanusiaan. Di Tawau, dua nelayan Indonesia yang hanyut di perairan Sabah setelah bot mereka mengalami kerosakan enjin, diselamatkan Pasukan Polis Marin, P-P-M, dan telah di serahkan kepada wakil Konsulat Republik Indonesia, kelmarin.