Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 13th July 2020

Bersama Reetasha Joanes Mijol.

* Ketua Menteri menegur Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sidang Dewan Rakyat hari ini
kerana keengganannya membahaskan peruntukan sebanyak RM250 bilion yang telah dibelanjakan Kerajaan Persekutuan untuk berdepan Covid-19.

Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata perbahasan itu perlu kerana telah menjadi tanggungjawab Dewan Rakyat untuk memastikan tiada kekeliruan berlaku dalam penyaluran bantuan.

* Institusi Parlimen sebagai badan legislatif negara, dicemari dengan campur tangan politik demi mengekalkan kuasa oleh Perikatan Nasional, PN selepas pertama kali dalam sejarah Yang Dipertua Dewan Rakyat dipecat oleh usul yang dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tan Sri Mohamad Arif Md. Yusof yang mempunyai rekod cemerlang mempengerusikan Dewan Rakyat dipecat selepas PN mendapat sokongan 111 undi berbanding 109 undi di blok pembangkang melalui undi belah bahagian yang dilakukan.

Selepas pemecatan Mohamad Arif dengan alasan remeh bahawa ada calon lain untuk jawatan itu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dilantik tanpa melalui undian daripada wakil rakyat.

Berikutan pemecatan Mohamad Arif, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming kemudiannya meletakkan jawatan beliau.

Laporannya bersama Rodelio JT.

* Perkhidmatan pengangkutan feri dan bot penumpang di Sabah kini dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh seperti yang dinyatakan dalam lesen, berkuatkuasa serta-merta.

Ketua Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, kebenaran itu selaras dengan keputusan yang telah dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan pada 11 Jun lalu.

Dengan itu, semua feri dan bot penumpang dalam negeri dan ke Wilayah Persekutuan Labuan boleh beroperasi seperti sedia kala mengikut syarat lesen.

Bagaimanapun, semua pengusaha feri dan bot penumpang dikehendaki untuk mematuhi prosedur operasi standard, SOP yang ditetapkan dalam usaha memerangi penularan Covid-19.

* Parti Amanah Negara, Amanah Sabah menyifatkan pencalonan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal sebagai pemecah tradisi terhadap dominasi pemimpin Semenanjung Malaysia sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu berkata seiring dengan semangat perjuangan Perjanjian Malaysia 1963, MA63, Amanah Sabah berdiri teguh menyokong pencalonan Datuk Seri Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri walaupun Amanah nasional bersama-sama dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, Amanah Sabah melihat pencalonan itu cukup penting dan signifikan terhadap Sabah, sesuai dengan asas pembentukan Malaysia yang meletakkan Sabah sebagai rakan kongsi bersama Sarawak dan Malaya di dalam MA63.

Amanah Sabah percaya dengan meletakkan Datuk Seri Mohd Shafie sebagai Perdana Menteri akan dapat memastikan usaha mengangkat hak-hak Sabah dan juga Sarawak dapat dijayakan.

Lahirul berkata Datuk Seri Mohd Shafie adalah pemimpin yang berkebolehan dan berpengalaman sesuai dengan pelbagai jawatan menteri yang pernah disandang oleh beliau di peringkat persekutuan dan juga kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah ketika ini.

* Kementerian Belia dan Sukan mengagihkan 3000 pelitup muka kepada 400 pusat kecantikan, pusat refleksologi serta salun dan kedai gunting rambut di sekitar Kota Kinabalu.

Inisiatif ini turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Junior Chambers International Tanjung Aru dan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat Luyang.

* Kastam Sabah berjaya merampas 23 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.15 juta dalam tiga rampasan berasingan di Lapangan Terbang Tawau dan Kota Kinabalu, 1 hingga 4 Julai lalu.

13th. July 2020