Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 13th August 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Bendahari Agung Parti Warisan Sabah,Terrence Siambun menyifatkan PBS sudah ketandusan isu sehingga mengaitkan usaha membantu penduduk Sabah memperoleh geran tanah sebagai kesalahan pilihan raya.

Tegasnya, tuduhan Setiausaha Agung PBS, Datuk Jahid Jahim itu tidak berasas kerana usaha mengeluarkan geran kepada penduduk kampung itu sudah dilakukan sejak tahun lalu.

Apa yang dilakukan ketika ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan Sabah memberikan geran tanah kepada penduduk kampung yang sudah memohon geran sejak berpuluh tahun lamanya.

Jahid turut mempertikaikan kenapa penyerahan geran itu perlu diberikan sendiri oleh Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal dan bukannya oleh pegawai daerah.

Menurut Terrence inilah perbezaan personaliti antara Tan Sri Musa Aman dan Shafie bila berdepan dengan rakyat dan penduduk kampung yang miskin di Sabah.

Shafie sentiasa ingin mendekati orang biasa dan penduduk kampung yang miskin. Beliau sentiasa ingin bersemuka dan duduk bersama penduduk kampung bagi mengetahui sendiri bagaimana kehidupan dan apa kesukaran mereka hadapi.

Ini antara sebab Ketua Menteri sanggup bersusah payah turun ke kawasan-kawasan pedalaman di seluruh Sabah bagi menyerahkan sendiri geran tanah kepada penduduk kampung. Beliau ingin berkongsi sendiri kegembiraan mereka apabila menerima geran kerana itu akan membuatkan beliau terus berjuang memenuhi kehendak rakyat, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jika dibandingkan dengan cara pentadbiran Musa yang lahir dalam keluarga elit, dia merasakan dia boleh muncul pada bila-bila masa untuk merampas kuasa daripada kerajaan Warisan.

Jika dihitung, berapa ramai orang biasa dan penduduk kampung yang miskin punya peluang untuk bersemuka dan berkomunikasi dengan Musa. Tambahnya, isu pemberian geran tanah bukan untuk meraih nama dengan mendakwa ia diusahakan oleh pemimpin dan parti politik tertentu.

Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman berkata kritikan Jahid mengenai program pemberian geran tanah yang disempurnakan Ketua Menteri adalah amat memalukan dan memualkan.

Ini kerana kritikan itu datang daripada PBS yang bersekongkol dengan UMNO dan menjadi dalang utama merompak hasil hutan Sabah untuk kepentingan mereka tanpa mempedulikan rakyat selama ini.

* Kes seorang wanita penjual rokok kretek berhampiran Pasar Ikan Tawau, yang disahkan positif Covid-19 semalam, menimbulkan kebimbangan awam kerana penjualan rokok kretek di Tawau sentiasa mendapat permintaan tinggi di kalangan perokok tegar.

Tinjauan Borneo Today TV di sekitar Terminal Bas Tawau dan Pasar Ikan, hari ini, mendapati tiada sebarang aktiviti penjualan rokok kretek berlaku.

Difahamkan, suspek yang dianggarkan berusia 40-an, ditahan polis, Ahad lalu selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

* Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, hilang selepas disambar buaya di Sungai Kinabatangan, berhampiran Kampung Mubibbah Hujung, pagi kelmarin.

* Proses pengusiran pendatang asing tanpa izin, PATI dari Sabah ke negara asal, diteruskan.

Semalam, 400 lagi PATI Filipina dihantar pulang menerusi pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina.

* Cubaan sekumpulan 13 lelaki PATI Filipina menyelinap masuk ke negara ini dengan membawa lapan laras senjata buatan sendiri, seawal 2.30 pagi kelmarin, tidak kesampaian apabila mereka ditahan di sekitar perairan Semporna.

Suspek berusia antara 7 hingga 50 tahun itu, sanggup melanggar arahan penguatkuasaan Perintah Berkurung di Zon Selamat Timur Sabah, ESSZONE apabila mereka bergerak menceroboh sempadan negara pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

* Kementerian Dalam Negeri digesa mewujudkan pos imigresen di Menumbok, dengan segera.

Ini susulan dakwaan ramai pihak bahawa Menumbok menjadi laluan mudah bagi warga asing untuk masuk ke Sabah secara tidak sah.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Datuk Honorsius Joe Bosuin, berkata kelompangan di laluan Labuan-Menumbok telah menjadi masalah sejak sekian lama dan dikatakan antara punca mengapa bilangan warga Pakistan di Sabah meningkat.

* Wanita DAP Sabah mengutuk taktik pihak tertentu yang melakukan serangan siber ke atas bakal calon DAP kawasan Dewan Undangan Negeri Tulid, Clare Taunek.

Ketua Wanita DAP Sabah, Jannie Lasimbang berkata serangan di media sosial ke atas ahli politik wanita merupakan satu tindakan yang tidak matang, mencemar reputasi dan satu penghinaan.

Tegasnya, serangan siber yang berbentuk diskriminasi berasaskan gender adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi Malaysia yang mengutamakan kebebasan.

Clare ketika ditemui berkata, serangan siber ke atasnya baru-baru ini bukan sahaja menyebabkannya terganggu. Namun turut mengancam penglibatan wanita dalam politik serta menperlekehkan amalan demokrasi di Malaysia. Katanya, tindakan itu juga menggambarkan betapa rendahnya amalan politik yang cuba dibawa pihak tertentu di Sabah.

13th. August 2020