Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 13 September 2020

Bersama Hikma Juni.

* Propaganda Barisan Nasional, BN dan Perikatan Nasional, PN kononnya rakyat Sabah tidak boleh hidup tanpa Kerajaan Persekutuan hanyalah kempen politik murahan untuk meraih sokongan.

Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata, rakyat Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor telah membuktikan bahawa mereka tidak pernah ‘mati’ walaupun berada di pihak pembangkang.

Sebaliknya menurut beliau, yang akan mati ialah BN dan PN sekiranya rakyat Sabah membuat keputusan untuk menolak pemimpin-pemimpin parti itu yang terpalit dengan salah guna kuasa.

* Gabungan Rakyat Sabah, GRS jelas merupakan blok politik baharu yang dibentuk Persekutuan bagi membolehkan usaha mereka merampas pentadbiran negeri daripada rakyat tempatan, berjaya dalam Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah.

Datuk Mohd. Shafie berkata, rakyat Sabah bagaimanapun bukan mudah dipersenda atau diperbodohkan dengan penubuhan GRS kerana tahu apa yang perlu dilakukan.

Tegas beliau, GRS sebenarnya langkah Persekutuan untuk menaja parti-parti politik kecil sebanyak mungkin demi mencapai hajat politik mereka.

* Calon Parti Warisan Sabah di Dewan Undangan Negeri, DUN Moyog, Datuk Darell Leiking berkata isu ketidakpercayaan antara masyarakat Sabah di kawasan Pantai Timur dan Pantai Barat antara punca berlakunya perpecahan perpaduan di negeri ini.

Perkara itu dapat dilihat berdasarkan tuduhan-tuduhan liar yang dilontarkan oleh pihak lawan khususnya ke atas pemimpin negeri.

Sehubungan itu katanya, rakyat Sabah tidak kira dari mana sekalipun perlu bersatu kerana hanya dengan cara itu barulah kemakmuran negeri dapat dicapai.

* Penyandang kerusi DUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick akan memastikan agenda pembangunan yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 dapat dijayakan.

Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO N11 Kadamaian itu berkata, pelan pembangunan itu merangkumi semua aspek termasuk pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, budaya dan alam sekitar.

* Perkampungan yang belum diwartakan di Petagas akan terus diperjuangkan calon Parti Warisan Sabah DUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, bagi memastikan penduduk tidak merempat di tanah sendiri.

Beliau berkata, selaku anak jati Kampung Ulu Putatan, beliau akan memastikan isu pewartaan kampung berkenaan dapat diselesaikan.

* Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, berkata dalam era politik baharu, sentimen mengenai bangsa dan agama tidak seharusnya dimainkan lagi oleh pemimpin sekarang.

Sehubungan itu, rakyat Sabah perlu memilih parti dan pemimpin yang tidak memainkan isu sensitif berkenaan.

* Calon muka baharu Warisan, Alias Sani yang bertanding di DUN Sekong mengakui beliau pernah ditahan tanpa perbicaraan mengikut akta pencegahan, namun tidak pernah dibuktikan kesalahan jenayah.

Alias berikrar akan membuktikan beliau bukan pengganas seperti yang dihebahkan kerana dia tidak menyokong keganasan.

* Keahlian Ketua Warisan Bahagian Keningau, Datuk Jake Nointin dalam parti, dibatalkan serta merta. Ia berikutan tindakan beliau yang bertanding atas tiket Bebas di DUN Liawan dalam PRN Sabah.

Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah, Datuk Loretto Padua berkata, keahlian pemimpin atau ahli parti Warisan yang didapati bertanding atas tiket parti lain atau menjadi calon bebas pada PRN Sabah akan terbatal serta merta.

* Enam daripada 13 ADUN yang melompat untuk menyertai kem Musa Aman, 29 Julai lalu, mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam PRN Sabah, setelah tiada parti yang mencalonkan nama mereka.

Kemunculan kembali ‘katak politik’ ini sekaligus menjawab persoalan mengenai hala tuju mereka selepas cubaan merampas kuasa menerusi tindakan lompat parti, gagal.

Mereka berhasrat mempertahankan semula kerusi DUN masing-masing atas tiket calon Bebas.

Yang dimaksudkan ialah Datuk Anita Baranting di DUN Tandek; Datuk Musbah Jamli, DUN Tempasuk; Datuk Masiung Banah, Kuamut; Datuk Saddi Abdul Rahman, Sukau; Abdul Rahman Kongkawang, Labuk dan Kenny Chua, Inanam.

13 September 2020.