Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo 13 October 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* 443 kes positif baharu Covid-19 dengan 4 kes kematian dilaporkan di Sabah hari ini. 4 kluster baharu turut dikenal pasti di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 2 kes kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan melibatkan seorang wanita berusia 84 tahun dan lelaki berusia 83 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik darah tinggi, diabetes dan hipertipidemia,

Dua lagi kes kematian dilaporkan di Hospital Tawau melibatkan seorang lelaki berusia 59 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit batuk kering dan seorang wanita berusia 36 tahun di Hospital Semporna yang mengalami penyakit buah pinggang kronik.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata seramai 2,970 pesakit sedang menerima rawatan di hospital di seluruh Sabah.

2054 pesakit dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Katanya Kerajaan Persekutuan melalui sidang khas Majlis Keselamatan Negara, MKN hari ini telah memutuskan untuk membenarkan kegiatan berkaitan sektor ekonomi, industri dan perniagaan, beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard MKN.

Sektor yang dibenarkan beroperasi termasuklah perikanan, perladangan dan pertanian.

* Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang sedang menjalani rawatan selepas dijangkiti Covid-19, berada dalam keadaan stabil dan bersemangat tinggi serta terus menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri menerusi panggilan telefon dan persidangan video.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Wetrom Bahanda dalam satu kenyataan berkata, Ketua Menteri amat mengambil berat tentang keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, Wetrom turut mendoakan kesihatan Ketua Menteri semoga cepat pulih agar dapat kembali berkhidmat untuk rakyat Sabah.

Wetrom turut mengajak seluruh rakyat untuk mendoakan kesejahteraan Ketua Menteri dan juga semoga Allah SWT menyembuhkan dan menyelamatkan rakyat Sabah daripada Covid-19.

* Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR menetapkan 5 Disember ini sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil, PRK Parlimen Batu Sapi.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 23 November manakala hari pengundian awal pada 1 Disember.

* Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan telah mempersembahkan kepada Seri Paduka, akuan bersumpah dan dokumen yang membuktikan beliau mendapat lebih 120 sokongan daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, kini terpulang kepada Yang Dipertuan Agong untuk mengambil tindakan mengikut Perlembagaan dan memanggil semua ketua-ketua parti untuk mendengar pandangan daripada mereka.

Anwar berkata, beliau kekal dengan pendirian bahawa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

* Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan membina 11 buah pusat kebudayaan di daerah terpilih di Sabah.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, pembinaan itu sedang dalam proses permohonan pemilikan tanah untuk diwartakan sebagai milik Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Pusat kebudayaan yang bakal dibina itu bukan sahaja untuk mempromosi adat budaya masyarakat tetapi juga untuk tujuan pengkomersilan produk pelancongan.

13 October 2020.