Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 13 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Dua kes positif Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini daripada kluster IPT, menjadikan jumlah 3 kes positif dari kluster berkenaan selepas kes pertama yang dilaporkan semalam kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kesemua kes dalam kluster IPT Sabah terletak di daerah Kota Kinabalu.

Pertambahan 2 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di Sabah meningkat kepada 330 kes setakat ini.

* Satu kes terbaharu  Covid-19 di Sabah yang dicatatkan semalam,

dikesan melalui saringan dan sampel yang diambil berdasarkan prosedur operasi standard, SOP Pengurusan Pergerakan Pelajar untuk Negeri Sabah yang dikendalikan oleh Universiti Malaysia Sabah, UMS, kata Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi.

Semalam, UMS telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa semua pergerakan pelajar dari kampus induknya melalui jalan darat ke seluruh Sabah yang dijadualkan sebelum ini ditangguhkan serta-merta.

Sebaliknya semua pelajar diminta untuk kekal berada di universiti.

* Tiga pelajar universiti yang pulang ke Tawau, bakal dikenakan tindakan perundangan selepas dikesan ingkar perintah kuarantin di rumah, baru-baru ini.

Pegawai Kesihatan Kawasan II Tawau, Dr Suzalinna Sulaiman berkata, semua suspek sebelum itu menaiki dua pesawat komersial berasingan pada 1 dan 4 Mei lalu ke Tawau.

Jabatan Kesihatan Tawau menerima aduan awam berhubung tindakan pelajar terbabit yang keluar rumah termasuk melepak dengan rakannya di kawasan kampung.

Semua pelajar terbabit berjaya dikesan dan sudah ditangkap untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Suzalinna berkata seramai 396 penumpang pesawat komersial AK5742 dan AK5740 ke Tawau diarahkan menjalani ujian saringan kedua di pejabat kesihatan berhampiran dengan segera.

Arahan itu dikeluarkan selepas enam penumpang pesawat berkenaan disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.

* Usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjadi keutamaan dalam sidang Dewan Rakyat 18 Mei ini kata Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata usul yang dibawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu perlu  untuk menjamin kestabilan dan keharmonian politik negara.

Dalam perkembangan lain, walaupun beberapa negeri termasuk Sabah berjaya membuktikan sidang Dewan Undangan Negeri mampu dijalankan dengan selamat asalkan mematuhi SOP, namun Kerajaan Persekutuan enggan melakukan perkara sama untuk persidangan Dewan Rakyat.

Sebaliknya, alasan penularan wabak Covid-19 digunakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional, PN untuk memastikan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 pada 18 Mei depan, berlangsung hanya sehari melibatkan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong tanpa ada sidang selepas itu.

Umum tahu bahawa sekiranya sidang Dewan Rakyat itu dilangsungkan seperti biasa, Kerajaan PN mungkin terbubar berikutan undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri  yang dibawa oleh penjawatnya sebelum ini, Tun Dr. Mahathir.

Sidang selama sehari itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof dalam satu kenyataan petang tadi.

Sidang Dewan Rakyat sehari itu pasti mencipta sejarah tersendiri dalam demokrasi negara selepas buat pertama kalinya tiada sebarang perbahasan diadakan.

* Berbaki 10 hari saja lagi sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, namun suasana di gedung menjual pakaian di bandar raya Kota Kinabalu, agak suram berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Apapun, kebenaran beroperasi oleh kerajaan negeri sejak 10 Mei lalu memberi sedikit kelegaan kepada pengusaha gedung untuk menjual stok pakaian Hari Raya yang ada.

Operasi sepanjang PKP fasa 5 ini memerlukan kepatuhan pengusaha gedung ke atas SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Tinjauan BTtv mendapati pelanggan yang berkunjung ke premis itu turut mematuhi SOP itu.

* Selepas gambar barangan kulit dan pakaian di premis Metrojaya Suria Sabah, Kota Kinabalu, tular di laman sosial, Metrojaya cawangan Sabah mengesahkan barangan yang didapati berkulat itu telah pun dikeluarkan daripada rak pameran dan  digantikan dengan stok baharu.

Ketua Pemasaran Kumpulan The MUI Group, Karen Mak berkata, perkara itu berlaku selepas pihaknya  menutup operasi selama hampir dua bulan sejak 18 Mac lalu ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP.

Karen turut memberi jaminan bahawa kakitangan mahupun pelanggan boleh membeli belah dengan selamat di premis terbabit.

Jelasnya, pihaknya telah mengambil langkah pencegahan yang diperlukan mengikut panduan pencegahan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Tambahnya, Metrojaya Suria Sabah dijangka beroperasi semula, hari ini.

* Jombola sejenis permainan baharu `Made in Malaysia’ antara yang akan mewarnai arena sukan di Sabah dalam masa terdekat.

Diasaskan pada 2006 oleh guru sejarah merangkap Presiden Persatuan Jombola Malaysia, Sukdev Singh, Jombola adalah sukan yang mengkombinasikan tiga jenis permainan iaitu tenis, ping-pong dan badminton.

Permainan dan peralatannya mirip seperti ping pong, badminton dan tenis tetapi ia mempunyai peraturan tersendiri sama ada  untuk acara individu atau beregu.