Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 13 Februari 2020

13

Bersama Salbinous Saribun.

* Tragedi awal pagi tadi di Sandakan. Meskipun keselamatan diri sendiri terancam akibat bot yang dinaiki hampir karam kerana melanggar sebuah kapal tunda, anggota Batalion 15 Pasukan Gerakan Am, P-G-A, Koperal Asman Ongkal, 40  tahun, masih sempat membantu  menyelamatkan penumpang lain untuk berpaut pada bot-bot  yang berada berhampiran. Atas pertolongannya, seramai 28 pelajar serta lapan orang awam di dalam bot berkenaan selamat. Namun Asman sendiri hilang di laut berhampiran Jeti Pasar Umum Sandakan. Sehingga kini, gerakan mencari dan menyelamat giat dijalankan pelbagai agensi penyelamat dibantu penduduk kampung.

* Sementara itu, suasana pilu menyelubungi sekitar Jeti Pasar Umum Sandakan apabila ahli keluarga Asman termasuk isterinya, Roslina Sari menanti dengan harapan agar anggota polis itu dapat dijumpai.

* Kerajaan Sabah meluluskan Pelan Tindakan 10 tahun dengan peruntukan RM20 juta dalam usaha memulihara dan melindungi populasi gajah Borneo yang dianggarkan 1,500 sehingga 2000 ekor agar tidak pupus di negeri ini. Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 itu diluluskan pada mesyuarat Kabinet negeri di Kota Kinabalu kelmarin. Satu daripada langkah utama dalam pelan tindakan itu adalah penubuhan sebuah Unit Penguatkuasaan di bawah Jabatan Hidupan Liar yang memberi tumpuan kepada perlindungan hidupan liar di rizab hutan. Turut akan ditubuhkan sebuah Unit Pemuliharaan Spesies Terancam yang akan memantau pelaksanaan semua pelan tindakan spesies daratan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997. Selain gajah Borneo, antara spesies tumpuan lain ialah Tambadau, Monyet Belanda dan Harimau Dahan.

* Sementara itu, seekor lagi gajah Borneo ditemukan mati di sebuah ladang di Bagahak, Lahad Datu kelmarin, menjadikan 5 kes kematian spesies haiwan terlindung itu yang direkodkan tahun ini kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

* Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, memperhebatkan promosi pelancongan domestik dan rentas sempadan serta meneroka pasaran baharu bagi memastikan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2020 berjaya dicapai. Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Noor Zari Hamat berkata, dalam berdepan situasi semasa, promosi melalui Tourism Malaysia di pasaran domestik dan pasaran baharu seperti di Eropah Timur, Asia Tengah, India dan Timur Tengah perlu dipergiatkan. Katanya statistik terkini menunjukkan 86% kadar penginapan hotel di negara ini di sumbang pelancongan domestik.

* Kehadiran kira-kira 300 delegasi dari 11 negara di Persidangan Pemasaran Pengembaraan 2020, Persatuan Pelancongan Asia Pasifik, PATA yang sedang berlangsung di Sabah dijangka  membantu mempromosikan produk pelancongan Sabah dan Malaysia.

* Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong, menegaskan beliau tidak pernah membenarkan orang tengah untuk melobi sebarang projek atau program di bawah kementeriannya, melalui ahli keluarganya. Datuk Junz juga berkata mana-mana pegawai kementerian, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga sama sekali tidak dibenarkan untuk menjadi perantara untuk mendapatkan projek atau pelaksanaan sesuatu program.

* Semua Ketua Polis Daerah di Sabah diarahkan membersihkan sekurang kurangnya lima kawasan panas aktiviti dadah di daerah jagaan masing masing menerusi operasi berterusan secara agresif selain melaksanakan Ops Payung – Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu menggantikan Datuk Omar Mammah yang bersara wajib manakala tempat Datuk Zaini diambil alih oleh setiausaha polis Malaysia, Urusetia Pejabat Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Mazli Mazlan. Majlis terima dan serah tugas berlangsung di Ibu pejabat Kontinjen Sabah dan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor. Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan tugas bekas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Sabah, Diana Lee Dennis kepada Datin Hariah Mohd. Tahir.

* Taman-Taman Sabah dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara Polis akan mempergiatkan pemantauan udara bagi membanteras kegiatan pengeboman ikan di kawasan perairan Taman Tunku Abdul Rahman kerana ia lebih berkesan untuk memastikan tiada pencerobohan dan aktiviti bom ikan di kawasan berkenaan.

* Jika namanya adalah penyeludup, apa sahaja pun akan diseludup. Di Tawau, cubaan 2 individu termasuk seorang wanita warga Indonesia menyeludup periuk dan kotak penyejuk bernilai RM28,635.00 berjaya digagalkan oleh Pasukan Polis Marin Tawau di kawasan laut pelabuhan Tawau, pagi kelmarin.