Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 12th July 2020

Bersama Hikma Juni.

* Parti Sarawak Bersatu, PSB menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal sebagai calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan Plus kembali memerintah Putrajaya.

Dalam satu kenyataan, PSB berkata, pencalonan Datuk Seri Mohd. Shafie tidak pernah berlaku selama ini.

Sehubungan itu, sokongan diberikan bagi mendokong status bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi Semenanjung.

Pencalonan pemimpin dari Malaysia Timur sebagai Perdana Menteri adalah sasaran yang diperjuangkan Sarawakian yang setia kata PSB seperti dilaporkan Malay Mail.

PSB mempunyai dua Ahli Parlimen iaitu Baru Bian (Selangau) dan Datuk Masir Kujat (Sri Aman).

* Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan melakukan penstrukturan  bagi memajukan lagi industri karang di Sabah.

Menterinya, Datuk Junz Wong berkata, perubahan akan dilakukan bagi menggalakkan dan mempermudahkan proses permohonan lesen bagi mengeksport karang ke pasaran global.

Junz berkata Sabah mempunyai potensi yang amat besar dalam industri ini kerana negeri ini amat kaya dengan sumber semulajadi.

Selain membantu mengekalkan ekosistem marin dan menjadi rumah kepada hidupan marin lain,  karang juga mempunyai pasaran yang luas terutama di Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Brazil.

* Lebih 50,000 penduduk di Kiulu bakal menikmati perkhidmatan bas percuma secara ulang alik antara pekan Kiulu dan Tamparuli.

Program berkenaan adalah kerjasama antara Persatuan Pengusaha Bas Kiulu dan Persatuan Belia Kiulu dengan dana adalah daripada ahli parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Ia memberi manfaat kepada penduduk khususnya yang ingin ke tamu mingguan pekan Kiulu pada setiap Selasa dan tamu pekan Tamparuli pada setiap Rabu, selain dapat meringankan beban golongan petani di kawasan Kiulu yang ingin menjual hasil pertanian mereka di tamu.

* Selepas hampir 4 bulan menunaikan upacara keagamaan secara atas talian,

penganut agama Kristian merasa teruja  apabila  mereka akhirnya dapat menghadiri upacara  di gereja hari ini.

Antara inovasi yang diperkenalkan, upacara keagamaan secara pandu lalu.