Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 12th August 2020

Bersama Aza Mini Liashin.

* Kenapa mempersoalkan tugas jabatan negeri Sabah yang terus berkhidmat kepada rakyat jika Jabatan Persekutuan di Sabah sendiri masih boleh berfungsi walaupun Dewan Undangan Negeri Sabah sudah dibubarkan?

Itu penegasan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal kepada pemimpin pro-Perikatan Nasional, PN yang mempersoalkan peranan Jabatan Tanah dan Ukur meluluskan pemberian geran tanah kepada rakyat.

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebagai pemerintah Sabah yang sah, beliau berhak untuk memberikan bantuan kepada rakyat lebih-lebih lagi membabitkan hak rakyat seperti geran tanah.

* Datuk Seri Mohd. Shafie menegaskan kejatuhan ekonomi bukan hanya berlaku di Sabah tetapi turut melanda di seluruh dunia termasuklah di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri berkata, meskipun pandemik Covid-19 antara faktor utama, namun beliau tidak pernah mengalah malah banyak perancangan di peringkat Kerajaan Sabah telah dibuat untuk merancakkan semula ekonomi negeri.

Tegas beliau, Kerajaan Sabah sedang bekerja keras untuk membangunkan semua pelbagai sektor industri di Sabah bagi mencipta peluang pekerjaan seperti pembukaan kilang minyak, menaikkan semula sektor pelancongan serta bermacam-macam lagi.

* Gred penjawat awam Sabah adalah lebih rendah berbanding pegawai Kerajaan Persekutuan semasa zaman Barisan Nasional, BN walaupun jawatan yang dipikul sama. Sebagai contoh, ketika seorang pegawai daerah di Semenanjung menikmati gred gaji sehingga Jusa C, namun di Sabah, gred tertinggi pegawai daerah semasa pemerintahan  Tan Sri Musa Aman cuma N48.

Perkara tersebut berlaku disebabkan sikap Musa sendiri yang gemar menyambung kontrak pegawai tertentu berulang-kali menyebabkan ada pegawai bawahan gagal menikmati kenaikan pangkat atau gred selama 20 tahun.

Bagaimanapun, selepas Parti Warisan Sabah memerintah, dasar menyambung kontrak pegawai atasan dimansuhkan.

Menerusi reformasi pentadbiran oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal, lebih 500 kakitangan kerajaan negeri mendapat kenaikan pangkat.

* Dalam ucapannya juga, Ketua Menteri menegaskan, prinsip adil dan saksama sentiasa menjadi tunjang pemerintahan kerajaan negeri agar rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama, terus mendapat pembelaan.

* Penasihat pelaburan, Christopher Masudal membidas kenyataan Tan Sri Musa Aman yang menyatakan pertumbuhan ekonomi Sabah terbantut ketika pemerintahan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal.

Walhal, umum mengetahui kelembapan ekonomi berlaku di seluruh dunia susulan perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China sejak 2018.

* Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Sabah akan memperhalusi cadangan pemberian IMM13 sebagai dokumen tunggal kepada golongan pendatang dan warga asing di Sabah.

Kementerian Dalam Negeri KDN, dalam jawapan lisan kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin di Dewan Rakyat semalam berkata, langkah itu diambil untuk memastikan usaha mendokumenkan golongan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

* Usaha mengusir Pendatang Asing Tanpa Izin, PATI di Sabah diteruskan.

Seramai 5,425 orang PATI dihantar pulang setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, penghantaran pulang PATI itu dibuat hasil kerjasama dengan kerajaan Filipina dan Indonesia, susulan penutupan sempadan akibat Covid-19.

Katanya, biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Pemulihan, agensi berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara, Sabah bersama polis tetap melaksanakan pengusiran PATI di Sabah.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Datuk Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) mengenai perancangan dan tindakan kerajaan dalam menyelesaikan isu PATI di Sabah semasa sesi persidangan Dewan Rakyat, semalam.

* Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berjaya merampas rokok seludup bernilai RM2.6 juta di perairan Pulau Usukan, Kota Belud, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, sebuah bot kargo didapati membawa muatan sebanyak 650,000 kotak rokok putih dipercayai dari Vietnam untuk dihantar ke Miri, Sarawak dan Balik Papan, Indonesia.

12th. August 2020.