Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo 12 September 2020

Bersama Hikma Juni.

* 447 calon daripada 16 parti disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri, PRN Sabah ke 16.

Daripada jumlah itu, Parti Cinta Sabah, PCS bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN, diikuti Parti Warisan Sabah, Warisan dengan 54 calon; USNO, 47 calon; Parti Liberal Demokratik, LDP 46 calon; Barisan Nasional, BN 41; Perikatan Nasional, PN 29.

Manakala selebihnya adalah calon Parti Gagasan Rakyat Sabah, Gagasan (28), Parti Perpaduan Rakyat Sabah, PPRS (23); Parti Bersatu Sabah, PBS (22); Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO (12 ); Parti Keadilan Rakyat, PKR (7); Parti Harapan Rakyat Sabah, Harapan Rakyat (5).

56 orang akan bertanding sebagai calon BEBAS.

Calon termuda berusia 22 tahun yang mewakili BN di DUN Tandek manakala calon tertua berusia 75 tahun dari PPRS di Bugaya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata satu kertas pencalonan ditolak, atas faktor calon telah diisytihar
muflis, sekaligus tidak layak bertanding.

Dun Bengkoka mencatat rekod persaingan terbanyak iaitu 11 penjuru, diikuti pertandingan 10 penjuru di DUN Inanam.

* Presiden Parti Warisan Sabah, Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal yang mempertahankan kerusi DUN Senallang, dicabar empat calon, Datu Pg Ahmad Datu Ali Alam, PPRS, Norazman Utoh Naim, PN, Mohammad Ramzan Abdul Wahab, USNO dan Madjalis Lais, PCS.

Senarai calon yang bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Benedict Asmat jam 11.10 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Semporna ditutup. Terdahulu, Datuk Seri Mohd Shafie menyerahkan kertas pencalonannya pada jam 9.15 pagi.

* Selepas selesai proses penamaan calon PRN Sabah hari ini, Datuk Seri Mohd. Shafie memulakan kempen jelajah bertemu rakyat di Pulau Bum-Bum. Pulau Bum-Bum yang terletak di dalam DUN Sulabayan bukanlah asing bagi beliau memandangkan Datuk Seri Mohd. Shafie sendiri adalah anak jati Semporna.

Lawatan pertama beliau bermula di Kampung Balembang dan disusuli Kampung Hampalan Darat, Kampung Hampalan Laut, Kampung Gusung Melanta, Kampung Sisipan dan berakhir di Kampung Tarusan.

Dalam setiap lawatan tersebut, Datuk Seri Mohd. Shafie dan Jaujan menerima sambutan hangat daripada masyarakat yang turut menyatakan sokongan padu mereka kepada Warisan.

* Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking yang berdepan saingan tujuh penjuru di DUN Moyog, bakal mengabungkan visi dan misi beliau dengan aspirasi yang diperjuangkan dua penyandang kerusi DUN Moyog sebelum ini, Jenifer Lasimbang dan Terrence Siambun .

* Tiga penyandang Timbalan Ketua Menteri bertanding di DUN Sulabayan, Api-Api dan Kiulu.

Di DUN Sulabayan, Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong dicabar calon PCS, Alahudin Mohd Sarah dan calon BN, Abdul Manan Indanan.

Di DUN Kiulu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berdepan saingan enam penjuru.

Madius yang pertama kali bertanding di peringkat DUN, ditentang calon PBS, LDP, PCS dan dua calon Bebas.

Di DUN Api-Api, penyandang kerusi itu yang juga Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew berdepan saingan 9 penjuru dari calon PBS, LDP, PPRS, PCS, Gagasan dan tiga calon Bebas.

* Proses Penamaan calon PRN Sabah ke-16 siang tadi menyaksikan Perikatan Nasional bersama rakan sekutunya Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah bersaing sesama sendiri di 17 kerusi dalam kawasan majoriti Kadazan Dusun Murut, KDM.

Kerusi DUN KDM yang menyaksikan pertembungan tiga parti sekutu itu adalah Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tanjung Aru, Kapayan, Melalap, Tulid, Moyog, Lumadan, Paginatan, Tambunan, Bingkor, Liawan, Sook, Telupid dan Karamunting.

* Parti Keadilan Rakyat, PKR akur dengan keputusan Warisan Plus memperuntukkan hanya tujuh kerusi DUN kepada parti itu untuk ditandingi pada PRN Sabah.

* Teka-teki mengenai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman terjawab apabila kelibatnya tidak muncul di mana-mana pusat penamaan calon termasuk di Dewan Sri Libaran, di Sandakan, hari ini.

Dengan perkembangan ini, sekali gus mengesahkan penyandang kerusi DUN Sungai Sibuga itu tidak bertanding pada PRN kali ini.

Bagi calon Warisan DUN Sungai Sibuga, Datuk Armani Mahiruddin, banyak lagi perubahan boleh dilakukan di kawasan itu biarpun ia kubu kuat Musa sejak 1994.

Armani berkata dia akan menggunakan pengalaman sebagai bekas ketua Wanita UMNO Sabah serta ketua Wanita UMNO Sungai Sibuga selama 22 tahun, selain sebagai wanita pertama yang dilantik Timbalan Speaker Dewan Negara, untuk memenangi ‘kerusi keramat’ itu.

Armani berkata, jika diberi mandat oleh rakyat, beliau akan menumpukan aspek kebajikan rakyat dan pembangunan kawasan luar bandar.

* Kuarantin terhadap rakyat Semenanjung Malaysia yang balik dari Sabah selepas PRN boleh dilaksanakan mengikut budi bicara Kementerian Kesihatan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan langkah itu kerana pencegahan perlu dilakukan demi keselamatan setiap rakyat.

12 September 2020.