Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 12 October 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB dilaksanakan di seluruh Sabah, bermula tengah malam ini sehingga 26 Oktober.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan PKPD bersasar dilaksanakan di Felda Umas, Tawau, bermula tengah malam ini sehingga 26 Oktober melibatkan 17,549 penduduk.

Sabah mencatatkan 2 kes kematian di Hospital Tawau dan Hospital Tuaran dan 291 kes positif baharu COVID-19 hari ini. Satu kluster baharu turut dikenal pasti iaitu Kluster Kolong di Keningau.

* Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19 di Sabah kini mencapai  tahap kritikal.

Beliau berkata beberapa strategi dan pendekatan akan diambil untuk memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan di negeri ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Sabah memaklumkan khemah di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth bertujuan untuk saringan Covid-19.

Khemah berkenaan dikaitkan dengan masalah ketiadaan katil di hospital itu seperti yang tular di media sosial sejak Sabtu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata 16 bangunan kerajaan di Sabah dijadikan sebagai wad hospital tambahan manakala tujuh hospital kerajaan sedia ada, ditukar sebagai Hospital Covid-19.

Langkah itu bagi membendung penularan Covid-19 yang semakin meningkat di negeri ini.

* Kerajaan Negeri akan mengagihkan bakul makanan kepada penduduk di enam daerah di Sabah bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bakul makanan itu diagihkan kepada penduduk di Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Sandakan, Tuaran dan Papar, hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah mengagihkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terkesan di daerah-daerah yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar, PKPDB sejak 9 Oktober.

Sehingga kini, sebanyak 5,134 bakul makanan telah diagihkan di Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau.

* Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ruddy Awah akan membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, SKMM dalam mempercepatkan pembinaan 13 menara baharu yang akan didirikan di daerah Pitas.

Beliau berkata demikian selepas menziarah Kampung Mengkapon Pitas semalam berikutan video tular yang menunjukkan penduduk kampung menggunakan pelbagai kaedah kreatif untuk mendapat liputan jalur lebar.

Menurut Ruddy beliau akan membantu mempercepatkan pembinaan menara-menara di daerah ini, agar rakyat dapat menikmati liputan internet yang lebih baik.

Di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara, NFCP 1, sebanyak 50 menara telekomunikasi baharu akan didirikan di Sabah.

Daripada jumlah tersebut, 13 menara baharu akan didirikan di Pitas.

Menurut SKMM, Kampung Mengkapon telah dikenal pasti sebagai salah satu lokasi untuk pembinaan menara berkenaan.

* Seorang lelaki warga emas ditemui rentung manakala dua beranak termasuk seorang kanak-kanak lelaki melecur dalam kebakaran membabitkan dua rumah satu tingkat di Lorong Patuma 7, Rumah Murah Kepayan, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, mangsa Liew Han Chong berusia 65 tahun ditemukan rentung di dalam tandas tingkat atas salah sebuah rumah yang terbakar manakala dua lagi mangsa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dan ibunya, 32, sempat menyelamatkan diri.

Kebakaran itu dipercayai berpunca tindakan jiran mangsa yang membakar tilam selepas berlaku pertengkaran.

12 October 2020.