Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 12 Mei 2020

Bersama Salbinous Saribun.

* Ingkar menjalani perintah kuarantin di rumah antara punca berlakunya peningkatan mendadak kes baharu positif Covid-19 di Sabah.

Kesemua 10 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan semalam dikategorikan sebagai kes import yang dikesan melalui pengambilan sampel di pintu masuk antarabangsa.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, tujuh sampel positif itu diambil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau manakala, tiga sampel diambil dari Lapangan Terbang Sandakan.

Daripada jumlah itu, dua daripadanya melibatkan pelajar, seorang kanak-kanak dan selebihnya rakyat Sabah yang bekerja Semenanjung Malaysia dan pulang baru-baru ini.

* Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan solat berjemaah dan Jumaat di masjid serta surau ditangguhkan sehingga 26 Mei ini berikutan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat PKPB.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira asas syarak dan maqasid syariah demi kemaslahatan dan kebaikan umat Islam di negeri ini.

Keputusan ini melibatkan penangguhan Solat Jumaat pada 15 dan 22 Mei.

Sehubungan itu, ahli kariah wajib menunaikan solat  zohor dan solat Jumaat di rumah atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh tersebut.

Keputusan ini juga membabitkan solat sunat Aidilfitri sama ada jatuh pada 23 atau 24 Mei ini tertakluk kepada keputusan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Ahli kariah disunatkan menunaikan solat hari raya di rumah masing-masing.

Selain itu, umat Islam di Sabah dikehendaki merujuk garis panduan yang dikeluarkan pihak berwajib khususnya Kementerian Kesihatan.

Kenyataan mengenai garis panduan Hari Raya akan dikeluarkan  dalam waktu terdekat.

* Waktu operasi pengangkutan awam di Sabah dibenarkan dari 6 pagi sehingga 11 malam bagi perkhidmatan teksi, kereta sewa, e-hailing, bas ekspres, bas berhenti-henti dan juga bas mini.

Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan , LPKP Sabah memaklumkan

lanjutan waktu operasi itu seiring dengan pelaksanaan PKPB, berkuat kuasa mulai semalam.

* Sementara itu, tinjauan BTtvdi terminal bas mini dan bas ekspress di Kota Kinabalu mendapati pemandu dan penumpang pengangkutan awam akur dengan  SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan Covid-19.

Meskipun ada yang mengakui masih belum dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu itu, namun pengusaha tetap bersyukur kerana kebenaran beroperasi untuk sektor pengangkutan awam membolehkan mereka menjana semula pendapatan selepas hampir 2 bulan tidak dapat beroperasi.

Kapasiti penumpang bas ekspress yang dihadkan memaksa harga tiket dinaikkan 30 peratus.

* Setelah hampir dua bulan ditutup, aktiviti pendakian Gunung Kinabalu akan dibuka semula, 16 Mei ini.

Bagaimanapun, kapasiti pendaki dikurangkan  daripada 190 orang kepada 100 orang bagi memenuhi prosedur operasi standard, SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Pengarah Taman-Taman Sabah,  Dr Maklarin Lakim  berkata diskaun 50 peratus diberikan bagi aktiviti pendakian Gunung Kinabalu untuk tempoh enam bulan sehingga November.

* Sabung ayam untuk berjudi masih menjadi aktiviti kegemaran segelintir penduduk.

Di Batu 18, Sandakan, polis menahan 12 lelaki yang leka melakukan aktiviti itu dalam sebuah ‘gelanggang’ sabung ayam di sebuah ladang kelapa sawit, petang Isnin lalu.