Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 12 Januari 2021

Bersama Salbinous Saribun.

* Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan proklamasi darurat itu bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera, dan perintah berkurung tidak akan dilaksanakan.

Muhyiddin berkata, sepanjang tempoh ini pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri akan terus berfungsi seperti biasa.

Muhyiddin turut memaklumkan, sepanjang tempoh darurat ini, persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan dilaksanakan.

Sepanjang tempoh ini juga, pilihan raya umum, pilihan raya kecil, dan pilihan raya negeri tidak akan diadakan.

* Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyambut baik pengisytiharan proklamasi darurat yang dilihat sebagai satu tindakan wajar dan proaktif bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Jelasnya keperluan untuk mengawal virus daripada terus merebak dan melindungi kesihatan orang ramai adalah perkara paling penting.

* Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, GRS sudah memasuki proses akhir bagi menyediakan kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya, SMJ yang dijangka dilancarkan hujung bulan ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelan pembangunan SMJ selama tempoh lima tahun ini akan menyaksikan pembangunan di negeri ini bersifat holistik agar dapat menjana semula pertumbuhan ekonomi di Sabah.

* Kerajaan negeri Sabah menubuhkan ‘Majlis Penasihat Ekonomi Sabah’, SEAC yang terdiri daripada pemain industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan, NGO untuk melengkapkan usahanya dalam pemulihan ekonomi negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata SEAC adalah usaha  sukarela oleh anggota dilantik yang telah bersetuju untuk memberikan perkhidmatan mereka sebagai penasihat.

* Malaysia mencatatkan kes positif COVID-19 harian tertinggi dengan 3, 309 kes dilaporkan hari ini.

Kes positif baharu Covid-19 di Sabah turut meningkat dengan 409 kes dilaporkan hari ini berbanding 374 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kini 41,449 kes.

Tiada kes kematian dan kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini.

* Jumlah mangsa banjir di daerah Kudat, Kota Marudu, Beaufort dan Pitas meningkat kepada 1,765 orang daripada 567 keluarga sehingga 4 petang tadi berbanding 746 orang daripada 225 keluarga semalam.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, kesemua mangsa ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara yang dibuka sejak pagi semalam.

12th January 2021.