Berita BT tv. Berita Borneo. Lensa Borneo – 12 Februari 2020

Bersama Norsarahana Zaki.

* Kerajaan Sabah meneruskan komitmen bagi membantu sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam, tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM43

juta. Pembantu Menteri Kewangan Kenny Chua berkata, peruntukan itu ditambah RM8 juta berbanding peruntukan tahun lalu sebanyak RM35 juta.

* Malaysia bakal menjadi negara pertama di rantau ini menggunakan teknologi yang mampu menukar sisa industri perkayuan kepada resin bioplastik menerusi usahasama tiga pihak di Sabah dikenali Projek Benta X yang dimeterai di Kota Kinabalu. Menerusi Benta X, sebuah kilang memproses sisa kayu industri akan dibina di Tawau, tahun depan dengan kos pelaburan RM5 billion untuk tempoh 15 tahun yang mampu menjana pendapatan sebanyak RM42.73 billion menerusi penghasilan 10 juta tan resin bioplastik sepanjang tempoh tersebut. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal berkata Projek Benta X adalah usaha sama Benta Wawasan Sdn Bhd sebagai pembekal bahan mentah, Biosea Corporation Sdn Bhd sebagai pembiaya dan pelabur serta Lax Global Resources Sdn Bhd sebagai pembekal teknologi. Projek Benta X, bertujuan membekalkan resin bio plastik kepada pengilang botol plastik, bekas makanan dan beg plastik terbiodegradasikan. Datuk Seri Mohd Shafie berkata penghasilan resin bioplastik mampu mengurangkan pencemaran berbanding penggunaan plastik ketika ini selain memanfaatkan sisa industri kayu di Sabah daripada dibuang begitu sahaja.

* Ketua Menteri berkata kerajaan harus menyediakan pelbagai inisiatif yang boleh membantu penggiat industri terutama komuniti peniaga agar ekonomi Sabah terus subur dalam keadaan ekonomi dunia yang agak mencabar.

* Sementara itu, ahli-ahli dewan perniagaan di Sabah digesa mempelbagaikan inisiatif dalam mempromosi barangan dan perkhidmatan mereka kepada pengguna domestik. Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia MICCI Sabah, Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau berkata, penurunan kemasukan pelancong ke Sabah terutama dari China mengakibatkan komuniti perniaga sedikit terjejas ketika ini.

* Seramai 97 pelancong  China direkodkan masih berada di Sabah, sehingga semalam. Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berharap lebih ramai pelancong dari negara tembok besar itu tampil melapor diri kepada pihak berkuasa bagi memudahkan pemantauan.

* “Jangan makan buah limau mandarin yang berasal dari China kerana tercemar wabak virus Wuhan”.

Itu sebahagian daripada mesej palsu ditularkan seorang pesara kerajaan pada 23 Januari lalu sehingga menimbulkan kegusaran orang awam tentang wabak koronavirus (Covid-19) yang berasal dari China dan telah merebak ke banyak negara termasuk Malaysia. Padahnya, lelaki itu, Aliuudin Amit, 67 tahun, didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Sandakan hari ini. Majistret Suhailla Selag memerintahkan Aliuudin membayar denda tersebut atau dipenjara 10 bulan jika gagal, selepas tertuduh mengaku bersalah atas perbuatannya.

* Syarikat peruncitan dalam talian, Shopee melancarkan S-Mart, sistem peruncitan dikhususkan untuk pasaran Sabah yang membolehkan pembelian pelbagai jenis barangan dengan harga lebih murah.

Melaluinya, setiap pesanan akan diproses dari gudang Shopee di Kota Kinabalu, seterusnya mengurangkan kos penghantaran. Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata kemudahan e-dagang itu memberi manfaat kepada golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan.

* Proses pengusiran pendatang asing tanpa izin, PATI, diteruskan.Kelmarin, 153 PATI Indonesia diusir pulang ke negara asal menerusi Program Pengusiran Siri Ke-Sepuluh, Tahun 2020.